"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar dakwa dirogol bergilir-gilir

SEKINCHAN: Padah mengikut nafsu, lapan remaja, termasuk seorang pelajar menengah atas, bakal berdepan tindakan mahkamah kerana disyaki mencabul dan merogol seorang pelajar 14 tahun secara bergilir dalam kawasan sawah berhampiran Parit Pakat Tali Air 6, di sini, 18 Disember lalu.

Suspek berusia antara 16 dan 22 tahun itu berjaya dijejaki dan diberkas polis setelah menerima aduan daripada mangsa, seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Tanjung Karang, Kuala Selangor.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, semua suspek ditahan reman sebelum pertuduhan dibacakan hari ini di Mahkamah Seksyen Klang dan Mahkamah Majistret Kuala Selangor mengikut Seksyen 376 dan 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol dan mencabul.

Menurut beliau, dalam kejadian antara jam 4 dan 5 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki motosikal bersama seorang rakan sebaya sebelum dihampiri kumpulan lelaki berkenaan yang bertindak mengganggu dan menghalang perjalanan.

“Mangsa terperangkap dan dipercayai dirogol secara bergilir oleh lapan suspek berkenaan. Rakannya berjaya menyelamatkan diri.

“Kami tidak menolak kemungkinan semua suspek penduduk tempatan dan mereka adalah kumpulan lepak di kawasan itu,” katanya.

Laporan polis dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Sabak Bernam.

Noor Mushar berkata, buat masa ini, mangsa berada dalam keadaan stabil dan menumpang buat sementara di kediaman rakannya di sini.

Beliau berkata, kejadian seumpama itu dapat dielakkan sekiranya ibu bapa mengambil berat mengenai aktiviti ahli keluarga, lebih-lebih lagi remaja.

Jelasnya, meskipun pada musim cuti sekolah, kegiatan anak perlu sentiasa dipantau dan diawasi apatah lagi membabitkan anak perempuan.

“Sebagai ibu bapa kita mesti tahu di mana dan dengan siapa mereka berkawan, jangan terlalu mudah melepaskan anak keluar apatah lagi membiarkan mereka keluar sehingga lewat malam,” katanya.
-sinarharian-

Tiada ulasan: