"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siasat menteri ‘perogol’, desak MP Pakatan

Patrick Lee
PETALING JAYA: Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat mendesak agar siasatan dijalankan terhadap dakwaan bahawa seorang menteri telah merogol pembantu rumahnya dari Indonesia.

Kes rogol ini dikhabarkan telah disembunyikan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2007.

Menurut penulis blog terkenal Ahiruddin Atan atau lebih dikenali sebagai Rocky Bru, dakwaan ini dibuat melalui laman web pendedah WikiLeaks.

“Memandangkan seorang menteri terlibat, kerajaan perlu berterus terang dalam perkara ini. Mereka perlu menjelaskan perkara ini,” kata MP Klang-DAP Charles Santiago.

Tambahnya, meskipun kejadian tersebut berlaku semasa pemerintahan Abdullah, perdana menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bertanggungjawab.

“Pentadbiran Najib perlu bertanggungjawab. Adakah Najib tahu kisah di sebalik kes ini? Ini adalah persoalan yang perlu ditanya,” katanya.

MP Shah Alam – PAS Khalid Samad memberitahu FMT bahawa dia hairan perkara sebegini berlaku semasa pentadbiran Abdullah.

Jika ia benar, ia sangat tragis. Abdullah dilihat sebagai insan yang mempunyai moral tinggi,” kata beliau.

Khalid menambah bahawa dia tidak dapat bayangkan bagaimana seseorang yang dipandang mulia seperti Abdullah boleh membenarkan kes sebegini disembunyikan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa menteri yang didakwa perogol telah dibenarkan untuk meneruskan khidmatnya.

“Saya tidak fikir Malaysia kekurangan pemimpin yang baik dan berkebolehan (supaya mereka boleh) tutup kes ini untuk membolehkannya (perogol) kekal sebagai menteri,” kata beliau.

“Ini satu dakwaan serius. Kerajaan tidak sepatutnya hanya mengetepikannya tetapi perlu mendalami perkara ini.”

Berhati-hati dengan Wikileaks

Para MP juga sangat berwaspada terhadap pendedahan sebegini. MP Balik Pulau-PKR Mohd Yusmadi Mohd Yusoff berkata penyiasatan rapi perlu dibuat atas dakwaan dibuat. Sehingga penyiasatan dibuat, sesiapa pun boleh mengatakan apa sahaja mengenai menteri tersebut,” kata beliau.

Yusmadi menambah bahawa penyiasatan memberikan peluang kepada mangsa rogol tampil ke hadapan dengan bukti.

Santiago pula menyatakan dakwaan dalam laporan tersebut juga perlu diperhalusi. “Pendedahan ialah pendedahan. Anda tidak tahu samada ia benar atau tidak,” tambah beliau.

“Anda perlu berhati-hati dengan WikiLeaks. Ia (laporan WikiLeaks) memberi kesan buruk,” kata beliau sambil menambah laporan tersebut mungkin hanya perbincangan di antara Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia dan kerajaan Malaysia.”

Mantan presiden Transparency International – Malaysia Ramon Navaratnam bersetuju dengan Santiago.

“Kesahihan laporan ini dipersoal kecuali jika kita mempunyai dokumen untuk merujuk dan mengesahkan bahawa laporan tersebut bukan tiruan,” kata beliau.

“Jika ia disahkan benarkan dan bukti sangat tepat, maka mereka yang bersalah perlu bertanggungjawab. Ini perlu demi integriti ketelusan dan ciri pemerintahan kerajaan yang baik,” tambah Navaratnam.
-freemalaysiatoday-

Tiada ulasan: