Pengundi Dun Merlimau
Saya merupakan seorang warga Merlimau, Melaka yang bertugas di Sarawak. Saya sanggup pulang untuk Pilihanraya Kecil Dun Merlimau walaupun menelan belanja yang besar. Majikan saya bertanya kenapa saya perlu pulang ke Merlimau, bukankah ada undi pos? Saya jawab, “Maaf tuan, saya tidak yakin dengan undi pos.” Semangat berkobar-kobar kerana PRK tidak sama dengan PRU. Tentu banyak berubah wajah kampung saya.
Tepat telahan saya, memang berubah sama sekali! Lori keluar masuk, polis bersimpang siur di jalan raya. Kampung yang dulu aman damai kini tidak ubah seperti medan pertempuran. Bendera berkibaran sehingga menyukarkan saya untuk melihat kenderaan sebelum melintas jalan. Begitu ‘panas’ keadaan di Merlimau sehingga berkobar-kobar saya memangkah kertas undi, dengan harapan calon pilihan saya juga calon pilihan warga Merlimau.
Apabila keputusan PRK diumumkan saya jadi kecewa. Kecewa bukan kerana PAS tewas. Kecewa kerana orang kampung saya, orang Merlimau masih belum berubah, masih belum mahu berubah dan tidak mahu berubah. Pegangan saya dan keluarga tetap condong kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Tetapi tidak dengan orang kampung saya. Mereka terlalu selesa dengan kebendaan, terlalu mudah disogokkan dengan harta benda, dengan jalan tar sekangkang kera, dengan biskut marie sepeket dua. Mereka tidak nampak bagaimana Ketua Menteri tercinta dengan lahap rakus menelan setiap sen ringgit yang terbang di depan mata.
Saya cuma pulang untuk tiga hari, tetapi pelbagai kisah menarik yang saya dapat di kampung saya. Jiran saya seorang ibu tunggal anak 7, dengan pendapatan RM400 sebulan, disogokkan dengan jalan tar sehingga ke depan pintu rumah. Tetapi hanya ditabur dengan batu dan pasir, tar pula entah ke mana. Lain pula ceritanya dengan seorang ahli Umno totok, yang rumahnya di sebelah masjid. Sehari sebelum mengundi, rumahnya cantik ditar setiap pelosok halaman. Yang seorang lagi bukan setakat rumah, hingga ke rumah-rumah sewanya juga siap ditar. Ibu tunggal diberi sepeket biskut marie, sekilo gula, dan sekilo tepung gandum dengan pesanan, “Kalau kau tak pangkah BN, semua bantuan ditarik balik.”
Seorang rakan saya merupakan petugas SPR yang juga pengundi, terpaksa menggunakan undi pos. Yang hairan bin ajaibnya, borang yang ditulis nama dan kad pengenalannya diarahkan supaya dimasukkan sekali dengan kertas undi. Jadi sesiapa pun boleh tahu siapa yang undi siapa. Sudah teluskah SPR?
Teringat saya dengan seorang pelakon kelahiran Merlimau yang juga penyokong BN totok. Mungkin sedang berlakon atau mungkin nak menunjuk pada anak-anak dara di sekeliling; dengan nada bongkak dia menjerit, “Lagi-lagi sebut Allah, asyik nak minta tolong pada Allah je, bukannya nak usaha!” Na’uzubillah… bukankah segala usaha kita juga atas kehendak Allah? Semoga dia sempat bertaubat dan semoga kampung Merlimau yang saya sayangi ini tidak dilanda musibah dan mala petaka.
Banyak lagi kisah pilihanraya Dun Merlimau ini, tapi pada petugas-petugas jentera pilihanraya tentu sangat maklum. Merlimau merupakan kubu kuat BN, orang-orang Merlimau sangat setia kepada BN. Memang kami tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk kemenangan PAS di sini. Tapi untuk PRU13, saya berharap sesuatu boleh dilakukan kerana kami, sebagai pengundi Dun Merlimau ini amat mengharapkan perubahan. Mohon ahli-ahli Pakatan Rakyat di sini menyusun strategi untuk menghadapi PRU13. Kita perlu lakukan sesuatu untuk mengubah mentaliti pengundi bagi menjamin perubahan di masa akan datang. Insya Allah, karat BN di Dun Merlimau ini akan terhakis akhirnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan