"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Aziz 'tak halal' kemenangan BN

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau "tidak halal" kemenangan BN dalam pilihan raya kecil DUN Merlimau dan Kerdau semalam kerana mendakwa jentera kerajaan bersikap berat sebelah.

Meskipun terpaksa akur dengan keputusan itu, Menteri Besar Kelantan itu, mendakwa kekalahan PAS adalah disebabkan kesemua jentera kerajaan termasuk media perdana berpihak kepada BN.

Malah, menurutnya beliau tidak hirau sokongan pengundi Melayu kepada PAS merosot kerana pada kedua-dua pilihan raya kecil itu disifatkannya sebagai berat sebelah.

"Sebagai pemimpin PAS, mana-mana menteri, pihak berkuasa, yang menyalahgunakan kuasa, saya tak halal dunia akhirat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kota Bharu hari ini.

Bagi DUN Merlimau, calon BN Roslan Ahmad, 44, menewaskan calon PAS, Yuhaizad Abdullah, 38, dengan majoriti 3,643 undi, manakala bagi DUN kerdau, calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim, 43, dengan majoriti 2,724 undi.

Mengenai desakan DAP supaya kerajaan PAS Kelantan menarik balik pengharaman judi di negeri itu, Nik Abdul Aziz berkata pihaknya sedia menjelaskan pendirian kerajaan negeri Kelantan agar pengerusi DAP Karpal Singh memahami perkara di sebalik pengharaman berkenaan.

"Perkara itu boleh dirunding, sebagaimana yang pernah disebut Karpal," katanya.

Pada 28 Februari lalu, pihak berkuasa tempatan menyaman dua pemilik kedai buku di negeri ini kerana menjual tiket loteri menyebabkan timbul dakwaan bahawa kerajaan PAS Kelantan menidakkan hak penganut agama lain di negeri ini.

Ekoran pengharaman itu, Karpal mendesak kerajaan PAS Kelantan supaya menarik balik pengharaman itu memandangkan ia dibenarkan kepada kaum bukan Islam di bawah Undang-undang kerajaan persekutuan dan Kelantan tidak terkecuali.

Mengenai dakwaan imej beliau disamakan dengan pengamal ajaran sesat Ayah Pin, Nik Abdul Aziz berkata biarlah perkara itu ditentukan oleh Allah s.w.t dan diselesaikan di akhirat nanti.
-Bernama-

Tiada ulasan: