"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Iktibar dari siri kekalahan PAS

Abd Shukur Harun
Ada beberapa iktibar dari siri kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil yang lalu – yang terkini Kerdau dan Merlimau. Petunjuk dan iktibar ini sangat perlu diberikan perhatian oleh PAS di semua peringkat.

Petunjuk itu ialah:

1. Persiapan PAS di peringkat akar umbi masih lemah, masih berada di ‘zon selesa’.

2. Kerja-kerja secara ad-hock dilakukan ketika kempen.

3. Belum mampu menangkis tohmahan BN bahawa PAS menjadi alat DAP untuk melemahkan ‘kuasa’ Melayu.

4. Berkesannya kempen perkauman yang masih ditiupkan oleh BN, terutama di kawasan pedalaman.

5. Penerangan PAS di peringkat akar umbi masih lemah.

6. Belum ada keupayaan PAS mendekati dan seterusnya menawan hati pengundi, khususnya di kawasan pedalaman.

7. Kesedaran politik di kalangan kebanyakan pengundi di pedalaman masih di tahap rendah.

Adalah sangat ketara dalam siri pilihan raya kecil di mana belum ada persiapan cukup di peringkat cawangan, kawasan, bahkan peringkat negeri untuk bertanding, walaupun keghairahan untuk bertanding di kalangan ahli sangat tinggi.

Sesetengahnya pula sentiasa membina harapan tinggi kepada pertolongan para pendukung PAS dari negeri-negeri lain. Dengan itu apabila berlaku pilihanraya kecil, biasanya yang diutamakan ialah mencari tempat untuk petugas luar beroperasi.

Ini bukanlah tidak penting, tetapi yang paling utama ialah mengatur gerak kerja peringkat cawangan, UPU dan sebagainya. Kemudian barulah membuat persiapan untuk menerima petugas luar kawasan.

Pimpinan negeri di mana pilihan raya akan diadakan belum dapat mengukur secara konkrit kekuatan sendiri di Dun atau Parlimen yang hendak ditandingi oleh PAS. Adalah tidak munasabah jika kekuatan diukur berdasarkan andaian atau agakan semata-mata.

Disebabkan belum cukup persiapan, maka kerja-kerja yang dilakukan seperti mengenal pasti kedudukan pengundi dan kaedah mendekatinya telah dibuat secara ad-hock. Hasilnya mengecewakan.

Sementara itu isu-isu yang dikira berkesan untuk diketengahkan kepada pengundi juga tidak dibincangkan secara khusus dan terperinci.

Yang paling ketara pendukung PAS belum dapat menangkis secara berkesan fitnah BN bahawa PAS menjadi alat DAP. Dari pengamatan saya, isu ini tidak digarap dengan baik oleh penceramah dan perayu undi PAS.

Mursyidul ‘Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat telah berulangkali mengeluarkan hujah bernas mengenai isu ini, di mana katanya, antara lain, persahabatan PAS dengan DAP, telah membuka peluang luas bagi menerangkan keadilan Islam dan sebagainya hingga semakin ramai orang bukan Islam menaruh minat untuk memahami Islam.

Hujah Tuan Guru lagi bahawa jika Islam selamat maka Melayu selamat, Cina selamat, India selamat dan kaum-kaum lain juga selamat. Tetapi jika Melayu selamat, belum tentu Islam selamat.

Hujahnya yang menarik ini belum lagi dihuraikan secara terperinci oleh pendukung PAS.

Pengertian ‘selamat’ jika Islam selamat serta tafsiran mengenai keadilan Islam juga belum lagi dihuraikan oleh para pengkempen PAS. Mendedahkan penyelewengan, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh BN memang sesuatu yang wajar, tetapi kegagalan menerangkan kefahaman Islam secara mudah dan berkesan kepada pengundi pedalaman adalah menghambat kemenangan PAS.
BACA SELANJUTNYA DI SINI

Tiada ulasan: