"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jepun Dilanda Tsunami Besar


TOKYO, 11 MAC: Jepun hari ini dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud di timur laut negara itu dan menyebabkan tsunami setinggi lebih enam meter yang menghanyutkan kereta dan meruntuhkan bangunan di sepanjang perairan dekat pusat gempa.
Sementara itu penduduk di Labuan dan Sabah dinasihati supaya menjauhi pesisir pantai ekoran laut bergelora dan paras air laut lebih tinggi daripada yang di jangka bermula 6 petang hingga tengah malam ini.
Menurut laporan Al-Jazeera setakat ini enam orang dilaporkan terkorban di Jepun namun tiada angka rasmi setakat ini.
Di beberapa tempat sepanjang perairan Jepun, rakaman televisyen menunjukkan kerosakan teruk akibat tsunami, dengan ratusan kereta, bot dan bangunan dihanyutkan air.

Sebuah kapal besar dihanyutkan tsunami yang merempuhnya ke arah tembok penahan di bandar Kesennuma, wilayah Miyagi, kata stesen NHK.

Jumlah kerosakan sedang dinilai manakala tiada maklumat lengkap mengenai kecederaan dan kematian akibat daripada gempa bumi.

Gempa bumi itu berlaku pada jam 2.46 petang dan diikuti siri gegaran kuat termasuk 7.4 magnitud kira-kira 30 minit selepas itu.
Akibatnya, satu amaran tsunami setinggi 10 meter dikeluarkan.

Menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran itu berlaku kira-kira 130 kilometer di timur Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer.

Televisyen NHK dan saksi melaporkan, gempa bumi kuat itu turut mengakibatkan kecederaan dan menyebabkan sekurang-kurangnya satu kebakaran serta tsunami setinggi empat meter.
Reuters melaporkan tsunami setinggi 10 meter membadai pelabuhan Sendai dengan ombak terus merosakkan kawasan pertanian dan menghanyutkan rumah, kenderaan dan apa-apa sahaja di laluannya.

Keadaan itu juga dilaporkan menyebabkan kebakaran dan tanah runtuh. Pusat penapisan di Chiba berhampiran Tokyo juga dilaporkan sedang terbakar.

Setakat ini bekalan elektrik kepada empat juta penduduk di Tokyo dan kawasan sekitarnya diuputuskan.
Perkhidmatan keretapi ke utara Jepun juga dihentikan manakala lapangan terbang antarabangsa Narita ditutup. Ribuan penumpang terkandas dan dipindahkan manakala semua penerbangan dibatalkan.

Lapan pesawat tentera sedang meronda dan memantau kesan tsunami yang memusnahkan negara paling maju di Asia itu.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan mengarahkan tentera melakukan apa yang terdaya bagi membantu keadaan. Beliau dijangka akan mengadakan mesyuarat jemaah menteri.

Menurut jurucakap kerajaan lebih banyak tsunami dijangkakan.

Bank pusat Jepun pula memberi jaminan akan memastikan kestabilan pasaran kewangan.

Beberapa pusat tenaga nuklear juga ditutup secara automatik.
Serentak dengan perkembangan itu, beberapa negara seperti Cina dan Taiwan juga mengeluarkan amaran tsunami kepada penduduknya supaya berpindah.
-tvsnews-

Tiada ulasan: