"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dakwaan Kes Liwat 2:Anwar sudah kalah dengan propaganda

anak_muar
Tindak tanduk Anwar agak mengecewakan dalam berhadapan pendakwaan kes liwat 2 terhadapnya kali ini. Bagi yang memerhati dan mengamati mula memberikan respone yang negatif walaupun tidak percaya akan kes tersebut. Cara Anwar berlawan dengan kesnya kali ini agak perlahan dan membosankan. Mungkinkah ia satu strategi baru dari pengalaman kes yang lepas? Selebihnya Anwar dan para peguamnya sahaja yang tahu ataupun faktor usia yang semakin tua.

Namun keadaan telah membuatkan Anwar telah didakwa bersalah dan sejumlah besar rakyat mula mempercayainya apabila usaha pelbagai cara ke arah meyakinkan rakyat khususnya orang Melayu/Islam begitu agresif sekali dengan pendedahan dan kejutan dari pihak yang menuduh Anwar. Propaganda yang bertali arus terhadap Anwar dalam isu liwat kali ini memang begitu hebat sekali. Ia telah memberi impak besar kepada masyarakat dalam mempercayai cerita liwat yang membabitkan Anwar. Cuma kurang dari separuh masih percaya dan yakin bahawa dakwaan liwat terhadap Anwar adalah cerita rekaan oleh pihak tertentu yang takut akan kebangkitan Anwar dalam politik tanahair kerana ketegasan serta keberanian beliau dalam membongkar isu penyelewengan dan salahguna kuasa oleh pihak pemerintah. Bagi yang masih yakin bahawa Anwar sememangnya tidak bersala, mereka ini adalah golongan yang tidak putus asa mencari maklumat dan sumber mengenai bagaimana kes liwat ini terjadi dari mula sehinggalah penentuan penamatnya.

Kumpulan yang dulunya tidak percaya dan sekarang sudah percaya adalah sejak melihat Saiful melakukan sumpah Muhabalah dan laknat di masjid bagi meyakinkan bahawa beliau benar diliwat oleh DS Anwar Ibrahim. Kumpulan ini khusunya Melayu Islam amat memandang berat dengan perkata sumpah menggunakan nama Allah SWT kerana mereka menganggap apabila bersumpah dengan menyebut nama Allah ia memang benar dan perlu dipercayai. Sememangnya orang Melayu agak takut dengan mainan sumpah ini. Di tambah pula Anwar enggan menyahut cabaran sumpah bagi menafikan dakwaan Saiful terhadapnya. Namun Anwar punya alasan bahawa tiada perlu berbuat demikian apabila mendapat pandangan ulama besar Dr Yusuf Al Al-Qardawi. Apapun memandangkan sikap orang Melayu yang sinonim dengan sumpah ini akhirnya Anwar dituduh kerana takut dan sememangnya beliau melakukan perbuatan tersebut. Bagi yang faham dan tahu tiada eloknya kita mempermainkan nama Allah SWT kerana akhirnya akan diperlekehkan oleh bukan Islam kerana hanya guna nama Allah sahaja seseorang itu menjadi benar dan tidak bersalah seperti ia terlalu mudah untuk menyelesaikan masalah.

Kini Umi Halfidah saksi utama dalam kes perbicaraan liwat 1 13 tahun yang lalu dan juga orang yang bertanggungjawab mendedahkan cerita liwat ini kepada Dr Mahathir sehingga membawa kepada pemecatan DS Anwar dari kerajaan dan parti dalam keadaan yang mengaibkan. Umi muncul semula setelah 10 tahun menyepikan diri dan kembali membangkitkan isu yang sama terhadap Anwar. Umi begitu berani mencabar Anwar kali ini. Sepertinya satu beban besar yang baru dihadapi Anwar apabila kemunculan wanita ini sekali lagi dalam usaha memburukkan imej Anwar yang sememangnya telah buruk di mata masyarakat akan dilemparkan pelbagai tuduhan-tuduhan yang berat.

Umi kali ini sudah menjadi seorang penceramah hebat oleh pihak UMNO-BN dalam mendedahkan perihal salah laku Anwar. Umi menjadi senjata berbahaya bagi pihak UMNO-BN dalam menghadapi Anwar kali ini. Wanita ini sudah pandai berceramah dan semakin yakin dengan apa yang beliau lakukan. Walaubagaimanapun segolongan masyarakat menganggap kehadiran Umi semula adalah sebagai usaha pihak tertentu bagi mengekang pergerakan Anwar yang semakin mara dan membimbangkan pihak lawan. Ada juga yang sudah jelak dengan cerita Umi ini dan menganggapnya sebagai pengadu domba bagi mengelirukan masyarakat atas apa yang didedahkan oleh beliau.

Dalam kempen PRK Merlimau dan Kerdau baru-baru ini Umi diturunkan oleh UMNO-BN sebagai penceramah utama mereka dalam usaha memperolehi sokongan pengundi supaya mengundi BN dan menolak Anwar sekaligus PR. Umi secara transparent menceritakan perihal dakwaan salah laku Anwar sambil melibatkan juga abang serta kakak iparnya sendiri iaitu Azmin dan Shamsida. Diakui ceramah pendedahan beliau kali ini membuatkan orang mula percaya akan cerita liwat yang membabitkan Anwar. Dengan diselang selikan dengan sumpah atau Muhabalah bagi menyatakan bahawa dakwaan tersebut adalah benar oleh itu para penonton seperti terpukau dan saling bertanya sesama sendiri ia adalah cerita benar.Bagi yang tidak mudah percaya mereka hanya datang sebagai pendengar sahaja.

Oleh itu kita dapati Anwar mahupun Azmin lebih banyak berdiam diri dengan serangan dan pendedahan Umi yang jelas telah betul-betul mengaibkan mereka berdua. Sikap demikian walaupun setengahnya menganggap sebagai langkah bijak namun ia lebih kepada memakan diri mereka sendiri. Umi secara berseluruh mangatakan Anwar dan Azmin seperti tidak berani menafikan segala pendedahan melibatkan mereka berdua. Anwar pula hanya menjawab jangan dilayan namun hakikatnya ia perlu dilayan atau dijawab dengan cara yang paling bijaksana bagi mengelakkan ia mendatangkan kesan negatif yang berpanjangan terhadap imej Anwar di mata umum khususnya orang Melayu yang kebanyakkannya mempunyai sikap mudah percaya dan suka dengar cerita-cerita sensasi. Ia menjadi seperti benar kerana Anwar pada masa yang sama sedang berhadapan dengan pendakwaan kes yang serupa. Umi sudah dikira berjaya mempengaruhi sejumlah masyarakat dengan pendekatan yang digunakan.

Anwar dan Azmin sudah tidak boleh duduk diam lagi berhadapan dengan keadaan yang semakin meruncing akan kisah salah laku yang melibatkan mereka berdua. Khususnya Anwar selaku orang yang dituduh mengamalkan perbuatan liwat perlu melakukan sesuatu yang perlu bagi mengekang dakwaan yang amat berat dan merbahaya ini. 13 tahun sudah cukup untuk bersabar dan terus berdiam diri dalam menghadapi suasana buruk bagi Anwar. Ramai beranggapan bahawa Anwar bakal dipenjarakan lagi namun cara Anwar terus mengikut rentak perbicaraan yang menjadi beban besar kepadanya selama ini.

Anwar perlu sedar salah satu faktor utama sokongan terhadap beliau dan parti mula merosot dengan mendadak adalah disebabkan tuduhan liwat yang dihadapinya ini. JIka Anwat masih mengharapkan keadilan yang entah bilanya akan datang secara bersendiri mungkin ia akan berlaku 10 atau 20 tahun lagi. Kebenaran sememangnya di tangan dan pengetahuan Allah SWT namun usaha yang berterusan serta bijak perlu datang dari Anwar sendiri. Ayuh Anwar katakan cukup untuk tuduhan liwat untuk kali ini. Bangkitlah dan yakinkan sejumlah rakyat yang masih keliru bahawa kamu sememangnya tidak bersalah. Harapan masih diletakkan kepada sejumlah yang mahukan serta yakin atas kemampuanMu dalam melakukan perubahan. Masa untuk kamu sudah amat suntuk..HENTIKAN SEMUA INI..

Tiada ulasan: