"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Prihatin Jumpa Saifuddin Kemuka Bukti Cek 'Membeli' Ahli Parlimen Lompat


KUALA LUMPUR, 10 MAC: Salinan dua keping cek yang ditandatangani oleh seorang ahli parlimen yang keluar parti PKR baru-baru ini diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail oleh individu yang prihatin terhadap Parti Keadilan Rakyat. 

Saifuddin yang ditemui di lobi Dewan Rakyat memberitahu TV Selangor, bahawa beliau sendiri telah membuat semakan bagi memastikan kesahihan cek dan resit asal sebelum meminta salinan diberikan kepada beliau.

"Kadang-kadang bukti ini tak perlu kita cari, orang yang bersimpati dengan kita dan tak boleh tahan tengok lakonan ahli-ahli parlimen ini yang keluar parti kerana tak boleh terima Keadian yang tak membela rakyat, mereka yang mempunyai bukti ini datang menemui saya, dan menyerahkan bahan bukti. Setelah saya teliti dan semak, mendapati ianya merupakan dokumen asal yang saya mohon izin untuk dibuat salinan dan saya dapat salinan tersebut," jelas beliau.

Menurut beliau, satu pendedahan akan dibuat tidak lama lagi kerana serik dengan tuduhan liar ahli parlimen yang keluar parti sedangkan kebenarannya jauh daripada itu.

"Dulu bertanding di bawah tiket PKR dan menang kemudian meninggalkan parti dengan memberikan alasan-alasan seperti parti hilang halatuju, Anwar terlalu gila menjadi Perdana Menteri dan segala macam. Kita sentiasa pertahankan bahawa alasan mereka mengkhianati parti adalah kerana dibeli, dan walaupun mereka sanggah tetapi untuk julung-julung kalinya semalam, saya telah menunjukkan salinan dua keping cek," tegas beliau.

Manakala Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan kesahihan bukti tersebut kerana beliau melihat sendiri salinan cek-cek tersebut.

"Kalau benarlah bagai dek kata, maka undang-undang perlu melalui prosesnya tersendiri. Kalau YB Machang telah menyebutnya di dalam Dewan dan berkebetulan, saya lihat sendiri salinan (cek) itu, dua-dua cek itu dan jumlahnya memang, RM1.401 juta, tunai," kata beliau.

Beliau menegaskan agensi penguatkuasa kerajaan khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu bertindak segera kerana impaknya kepada masyarakat umum adalah besar.

"Dengan kata lain, SPRM perlu segera bertindak dan mungkin ada yang membuat laporan polis. Bayaran tunai untuk sebidang tanah seperti ini jarang-jarang dibuat, dan kita tahu peribadi itu, bagaimana kedudukan kewangannya terdahulu sebelum dia melompat, menjadi Bebas. Tiba-tiba dia datang bayar RM1.4 juta yang dia hutang untuk tanah itu, tunai," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang turut berada di lobi Parlimen berkata pendedahan ini membuktikan betapa terdesaknya Umno-BN untuk mengekalkan kuasa sehingga sanggup membeli wakil rakyat.

Menunjukkan betapa terdesaknya Umno ataupun kerajaan ataupun BN untuk mengekalkan kuasa dengan kaedah membeli danini bukti yang terbaru dan saya rasa ini sukar unntuk (dipertikaikan), resit sudah ada. Saya tidak merasa bimbang sangat untuk memberitahu bahawa lima lagi yang melompat pun mempunyai elemen ditawarkan kemudahan," katanya.

Azan berkata, tren dahulu adalah membeli pengundi tetapi tren kini adalah membeli wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat tersebut.

"Dulu dibeli, beli rakyat dengan cara membeli undi dengan sogokan dengan membuat projek-projek dan sebagainya, sekarang tidak lagi membeli pengundi, membeli pengaruh di kawasan. Sekarang, wakil rakyat yang diundi, dan kaedah membeli ini sangat nyata sekarang sehingga Setiusaha Agung (PKR) mempunyai bukti yang jelas dalam bentuk resit, dan beliau menyebut dalam Dewan, angka tersebut, RM1.4 juta untuk tujuan pembelian tanah," jelas beliau.
-tvsnews-

Tiada ulasan: