KUALA LUMPUR 16 JULAI: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, satu pasukan bebas khas bagi menyiasat kematian peserta perhimpunan Bersih 2.0, Allahyarham Baharuddin Ahmad Sabtu lalu, akan ditubuhkan.
Menurut Ku kepada The Malaysian Insider, pasukan itu akan menjalankan siasatan berhubung kematian Baharuddin Ahmad, 56, di Hospital Kuala Lumpur selepas dilaporkan pengsan di kawasan KLCC ketika cuba melarikan diri daripada tindakan polis yang melepaskan gas pemedih mata dan air berasid.
Pagi tadi, keluarga Baharuddin yang diwakili oleh abangnya Major (R) Kassim Ahmad dan anaknya Azhar Kassim menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar meminta agar diadakan siasatan segera.
PKR pula diwakili oleh anggota Majlis Pimpinan Pusatnya Sivarasa Rasiah dan Naib Presiden N Surendran manakala Lawyers for Liberty pula diwakili Eric Paulsen dan Renuka T Bala dan Warga Aman diwakili oleh Pengerusinya Rajaretinam serta Lee Khai Loon dari Youth for Change.
Dalam memorandum itu mereka menuntut agar kesemua pegawai polis termasuk pegawai-pegawai tertinggi yang menyelia operasi di kawasan tersebut digantung tugas sehingga selesai penyiasatan kes tersebut.
Selain itu mereka juga mahu siasatan yang komprehensif tanpa sebarang percubaan untuk melindung mana-mana pihak dijalankan dengan segera dan laporan penuh hasil penyiasatan diumumkan kepada orang awam.
Selain mengenakan tindakan undang-undang ke atas semua pegawai polis yang terbabit, memorandum itu juga mahu Ketua Polis Negara dengan segera meminta maaf dengan keluarga Allahyarham Baharuddin dan seluruh rakyat Malaysia kerana menyalah guna kuasa dan menggunakan kekerasan berlebihan terhadap rakyat.
-tvsnews-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan