KOTA BHARU: Pengunjung Kelantan Cheng Ho International Food Festival (KelCheff) 2011 pertengahan Julai depan akan berpeluang menyaksikan salah satu keajaiban yang mungkin tidak pernah terlintas di fikiran.
Pengarahnya, Zulkifli Mamat berkata, keajaiban dimaksudkan ialah melihat kalimah ‘La ilaa ha illallah’ yang tercatat pada sebiji beras.
“Walaupun mungkin sukar untuk dipercayai, namun itulah yang akan dapat disaksikan pengunjung Kelcheff di Galeri Tamadun Islam (GTI) yang akan diadakan sempena Kelcheff nanti.
“Artifak berkenaan tidak dapat dilihat dengan mata kasar, sebaliknya perlu menggunakan kanta pembesar yang akan disediakan,” katanya.
Menurutnya, walaupun diadakan di lokasi yang berbeza, namun ia bukan alasan yang menghalang orang ramai untuk melihat beras yang unik itu.
“GTI akan diadakan di Gelanggang Seni dan Dewan Jubli Perak, Kota Bharu di sini dan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, bermula 7 hingga 26 Julai,” katanya.
Zulkifli berkata, rugi jika pengunjung KelCheff tidak menggunakan kesempatan yang ada ini untuk melihat lebih dekat artifak yang dibawa pada GTI berkenaan.
Beliau berkata, pengunjung Kelcheff turut berpeluang menyaksikan Pedang Laksamana Cheng Ho, al- Quran terbesar tulisan tangan, pedang Amru al-As, baju perang lengkap kerajaan Uthmaniah dan kira-kira 300 artifak lain.
“Orang ramai diseru menghadiri GTI ini kerana ia peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam menambah pengetahuan dan pengalaman,” katanya.
-sinarharian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan