FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan hari ini untuk membantu siasatan kes menyerang dan mencederakan dua jirannya di Kampung Baru Kundang, Rawang, Sabtu lepas.
Ketua Polis Gombak Ibrahim Husin berkata, dalam kejadian pada 8.30 malam itu, suspek yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk meluru masuk ke kawasan hadapan rumah jirannya sebelum membuat kecoh.
“Ketika kekecohan berlaku, suspek bertindak menyerang ahli keluarga jirannya menggunakan objek tajam yang menyebabkan dua mangsa cedera dan dirawat di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Susulan kejadian, keluarga mangsa membuat laporan polis pada keesokan harinya, yang membawa kepada penahanan suspek pada 12 tengah hari tadi.
Selain itu, polis turut merampas beberapa barang kes.
Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 447 kanun sama kerana menceroboh.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Amirul Ashyraf Abu Hassan melalui talian 019-3491233 atau Bilik Gerakan IPD Gombak 03-6126 2222 untuk membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan