Buletin TV3
BANGKOK: Sekurang-kurangnya 27 orang maut dalam kebakaran besar yang memusnahkan sebuah pusat hiburan terkemuka di Bangkok, Thailand tengah malam tadi.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengesahkan angka korban itu ketika berada di lokasi kejadian dan memaklumkan, beberapa lagi mangsa telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Menurut pihak berkuasa, bomba menerima panggilan kecemasan sejurus selepas tengah malam sebelum bergegas ke lokasi.
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira 30 minit kemudian, namun keadaan dalam premis itu didapati musnah teruk.
Rakaman tular di media sosial menunjukkan api marak keluar dari bahagian hadapan bangunan, dengan pengunjung bertempiaran lari melalui pintu utama.
Menurut saksi, seorang pemandu yang melalui kawasan itu mendakwa terlihat api mula marak sekitar jam 11.30 malam sebelum bertindak memecahkan tingkap premis untuk membantu dua individu menyelamatkan diri.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Setakat ini kerajaan Thailand belum mengeluarkan sebarang penjelasan rasmi berhubung insiden.
Media tempatan melaporkan, beberapa individu masih belum dapat dikesan, sekali gus menimbulkan kebimbangan angka korban mungkin meningkat.
Pusat hiburan di Daerah Chatuchak itu antara lokasi hiburan serta restoran popular di kawasan berkenaan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan