FMT Reporters
PETALING JAYA: Presiden PAS Hadi Awang mengakui partinya sedang berunding agihan kerusi dengan Barisan Nasional (BN) menjelang PRN Negeri Sembilan.
Katanya, setakat ini PAS pada dasarnya setuju BN mempertahankan 14 kerusi disandang, manakala PAS kekal bertanding di tiga kerusi dimenanginya sebelum ini.
Beliau berkata, baki 17 kerusi lagi akan dimuktamad menerusi rundingan bersama parti itu.
“Ya…kita sedang berusaha bekerjasama dengan BN dan pada peringkat awal lagi kita telah berusaha kerjasama untuk mengambil alih kerajaan melalui akaun berkanun (SD), namun malangnya dua Adun Bersatu menarik diri,” katanya menurut Sinar Harian, di Seremban malam tadi.
“BN sudah mendapat 14 kerusi dan kita lima kerusi (termasuk dua kerusi Bersatu), yang baki itu kita akan bahagikan.
“Tunggu nama calon diumumkan nanti. Tapi, kita terima hakikat Negeri Sembilan, BN dominasi, dia pimpin,” katanya sambil menambah PAS tiada masalah menyerahkan jawatan menteri besar kepada BN atas faktor Melayu-Islam.
Negeri Sembilan mempunyai 36 DUN dengan PH menang 17 melibatkan DAP 11 kerusi, PKR (lima), dan Amanah (satu).
BN pula menguasi 14 DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) menang lima, dengan dua daripadanya diwakili Bersatu.
April lalu, semua Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.
Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata keputusan dibuat susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.
SItuasi berkenaan membawa kepada pembubaran DUN pada 5 Jun. Hari pengundian PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 1 Ogos, manakala penamaan calon pada 18 Julai, dan pengundian awal akan berlangsung 28 Julai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan