Zuhainy Zulkiffli
GEORGE TOWN: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengarahkan sebuah syarikat subkontraktor menghentikan kerja mengecat dan kemasan rumah di sebuah tapak pembinaan di Bayan Mutiara, di sini, susulan kematian seorang pekerja warga Bangladesh yang dipercayai terjatuh dari tempat tinggi.
Pengarah JKKP Pulau Pinang, Hairozie Asri, berkata arahan itu dikeluarkan menerusi Notis Larangan kepada subkontraktor terbabit bagi menghentikan kerja di kawasan tepian terbuka.
Beliau berkata, Notis Larangan turut dikeluarkan kepada kontraktor utama berhubung kegagalan memastikan kawasan tepian terbuka dihadang dan dilindungi dengan selamat.
“Semua aktiviti kerja di lokasi kejadian berkaitan diarah dihentikan serta-merta sehingga semua kehendak Notis Larangan dipatuhi sepenuhnya.
“Majikan, kontraktor utama, subkontraktor dan semua pemegang kewajipan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] serta Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) 2024 [CDM 2024] hendaklah memastikan tempat kerja sentiasa selamat,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi Ahad lalu, seorang lelaki warga Bangladesh maut dipercayai terjatuh dari tempat tinggi di tapak pembinaan itu. Bagaimanapun, laporan kejadian hanya dibuat pada jam 12.15 tengah hari semalam.
Hairozie berkata, siasatan pihaknya mendapati mangsa adalah pekerja sebuah syarikat subkontraktor yang menjalankan kerja mengecat, plaster dan kemasan rumah di tapak pembinaan berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 34 ke tingkat sembilan.
“Mangsa dipercayai melaksanakan kerja di tingkat 34 sebelum ditemukan dalam keadaan parah di atas bumbung kanopi di tingkat sembilan.
“Pegawai Perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Hairozie berkata, menjadi satu kesalahan sekiranya menyembunyikan atau gagal melaporkan sebarang kemalangan pekerjaan yang berlaku di tempat kerja.
“JKKP meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan menentukan sama ada terdapat pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan