"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakatan 'sulit' BN-PN: Apa yang berlaku di sebalik tabir?

Malaysiakini

Semua tumpuan kini terarah kepada sama ada BN akan mengumumkan calon bagi semua 36 kerusi yang bakal direbut di Negeri Sembilan malam ini, ketika spekulasi bertiup kencang bahawa satu kesepakatan dicapai dengan Perikatan Nasional (PN).

Apabila ditemui pemberita hari ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengelak daripada mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh partinya.

“Adalah nanti saya atau Pengerusi BN Negeri Sembilan umumkan malam ini,” katanya kepada media.

Sebaliknya, Zahid yang juga pengerusi BN hanya mengesahkan bahawa MCA akan bertanding di tujuh kerusi, manakala MIC akan bertanding di empat kerusi.

Kedua-dua parti komponen itu tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu selepas diketepikan daripada rundingan antara BN dengan rakan sekutu kerajaan persekutuan, PH.

Kali terakhir semua komponen BN bertanding di peringkat negeri di Negeri Sembilan adalah pada 2018, yang menyaksikan MCA bertanding di 10 kerusi dan MIC di dua kerusi, manakala parti sekutu BN ketika itu, Gerakan bertanding di dua lagi kerusi.

Zahid tidak menjelaskan mengapa jumlah kerusi MCA berkurangan berbanding sebelum ini. Dia juga tidak menjelaskan sama ada MIC akan mengambil alih kerusi MCA atau Gerakan atau sebaliknya.

Jika BN tidak mengumumkan calon untuk semua 36 kerusi malam ini, maka besar kemungkinan mereka akan memberi laluan kepada PN di kerusi selebihnya.

Langkah untuk mengelakkan pertembungan itu berkemungkinan besar akan digambarkan sebagai usaha menyatukan orang Melayu dalam peti undi - tindakan yang akan memberikan kelemahan besar kepada PH.

Sebelum ini pada malam Ahad, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata bahawa PAS sedia menjalinkan kerjasama dengan Umno, malah sanggup memberi laluan kepada parti itu di 17 kerusi yang ditandinginya.

Bagaimanapun, Zahid berkata ketika itu bahawa sebarang perbincangan dengan PAS sekadar bersandarkan persefahaman dan belum ada sebarang perjanjian muktamad yang dicapai.

Kemudian pada Selasa, jurucakap PN Annuar Musa berkata segala-galanya akan terjawab menjelang malam Khamis selepas gabungan itu turut mendedahkan senarai calon mereka.

Sementara itu, rundingan antara PN dan BN didakwa tidak melibatkan Bersatu.

Ketua Bersatu Negeri Sembilan Hanifah Abu Baker memberitahu Malaysiakini bahawa rundingan di ibu pejabat PAS pada Ahad lalu belum selesai.

Rundingan itu sepatutnya disambung semula pada Isnin, namun mesyuarat tersebut ditangguhkan sekali lagi.

"Sehingga hari ini, Setiausaha Agung PN (Takiyuddin Hassan) belum memanggil sebarang mesyuarat untuk membincangkan agihan kerusi selepas ia ditangguhkan," katanya ketika dihubungi.

Tiada ulasan: