"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersama gagal menang kerusi tapi kehadirannya beri kesan

Lynelle Tham

PETALING JAYA: Penampilan sulung Parti Bersama Malaysia dalam pilihan raya, berakhir tanpa menang sebarang kerusi pada PRN Johor semalam, namun parti baharu itu berjaya mempengaruhi keputusan dengan memecahkan undi dalam beberapa pertandingan sengit.

Hanya beberapa minggu selepas dilancarkan pada Mei lalu, Bersama membuat cubaan berani dengan bertanding di 15 kerusi, kebanyakannya di kawasan yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) atau menjadi sasaran gabungan itu.

Parti itu berkempen membawa agenda reformasi yang memberi tumpuan kepada isu seperti gaji, perlindungan sosial, perumahan dan kebertanggungjawaban kerajaan, selain menampilkan dirinya sebagai alternatif baharu kepada gabungan politik sedia ada.

Kempen berprofil tinggi turut dipimpin oleh pemimpin bersama Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, namun tiada seorang pun calon mereka berjaya meraih kemenangan.

Bagaimanapun, kehadiran parti itu dirasai di Perling dan Bukit Batu, kedua-duanya merupakan kerusi penting PH yang berjaya dimenangi MIC daripada BN.

MIC merampas Perling daripada DAP dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 1,611 undi. Calon Bersama, Boo Wei Han, memperoleh 2,996 undi.

Dalam pertandingan lebih sengit lima penjuru di Bukit Batu, MIC menang dengan majoriti tipis 174 undi. Calon Bersama, G Tamili, memperoleh 821 undi.

Ini bermakna undi yang diperoleh kedua-dua calon Bersama itu berpotensi mengubah keputusan pertandingan memihak kepada PH sekiranya undi berkenaan diberikan kepada gabungan itu.

Bersama turut mengurangkan majoriti PH dengan ketara di Stulang, apabila DAP hanya menang dengan majoriti 623 undi berbanding 2,866 undi pada 2022. Calon Bersama, Stanley Tan, memperoleh 1,372 undi.

Mungkin itu sahaja perkembangan positif yang boleh dicapai parti tersebut memandangkan ia bergelut untuk mendapatkan sokongan mencukupi bagi memberi cabaran sebenar di mana-mana kerusi.

Keputusan itu mengukuhkan dakwaan bahawa Bersama lebih berperanan untuk menganggu keputusan pilihan raya berbanding kuasa politik yang mampu menukar sokongan kepada kemenangan kerusi.

Keputusan berkenaan turut menimbulkan persoalan sama ada populariti peribadi Rafizi mampu diterjemahkan kepada sokongan terhadap jenama politik baharu, atau Bersama masih belum berjaya membina identiti tersendiri selain daripada akar umbinya yang berasal daripada PKR.

Dengan PRN Negeri Sembilan hanya berbaki tiga minggu lagi, Bersama perlu menilai semula strateginya jika mahu menukar perhatian yang diterima kepada manfaat dalam pilihan raya.

Tiada ulasan: