HARRITH HISHAM

Tangkap layar insiden seorang lelaki dipukul dua individu tidak dikenali di sebuah stesen minyak di Bandar Sr Damansara, kelmarin.
PETALING JAYA – Seorang lelaki tempatan cedera selepas disyaki dipukul dua individu tidak dikenali di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.56 malam itu, mangsa dikatakan sedang mengisi angin tayar kenderaannya sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bertindak memukul mangsa berkali-kali sebelum merakam video kejadian dan melarikan diri.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami patah tulang pada bahagian mata serta beberapa kecederaan lain.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Danish Noor Azri di talian 013-6201412 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang YouTuber yang juga pengkritik bola sepak tanah air dipukul dua individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah stesen minyak, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan