"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi tuduh Bersatu pula yang salah, nafi PN ‘toksik’ bawah PAS

Faiz Zainudin

JEMPOL: Hadi Awang menafikan tuduhan Muhyiddin Yassin Perikatan Nasional (PN) kini sudah menjadi toksik dan terpesong daripada perjuangan bawah pimpinan PAS.

Presiden PAS sebaliknya mendakwa, keretakan hubungan dengan Bersatu disebabkan salah laku parti pimpinan Muhyiddin itu sendiri dalam kerjasama.

“Itu tak benar. Apa yang berlaku (keretakan hubungan) disebabkan salah laku Bersatu dalam kerjasama PN,” katanya ketika ditemui di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol bagi proses penamaan calon DUN Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau.

Semalam, Muhyiddin mendakwa PAS membuat tuduhan tidak benar berserta fitnah terhadap kepimpinan Bersatu sebagai usaha untuk meminggirkan parti itu.

Muhyiddin mengambil contoh kemelut politik di Perlis dan berkata ia berpunca daripada kesilapan pemimpin PAS sendiri. Peristiwa di negeri itu menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.

Sementara itu, mengulas hasrat Bersatu mahu membentuk gabungan baharu selepas PRN Negeri Sembilan, Hadi berkata ia terpulang kepada bekas sekutunya, sambil menegaskan PN mahu memberi fokus kepada kerjasama bagi tujuan menyelamatkan rakyat.

Mengenai persefahaman antara Barisan Nasional dan PN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan pula, Hadi berkata akar umbi PAS menerima baik perkara itu dan usaha akan dilakukan untuk memperluaskan kerjasama di peringkat lebih besar.

“Kita akan usahakan perluas kerjasama seluruh negara. Yang penting negara kita selamat,” katanya.

PN kini bekerjasama dengan Barisan Nasional di PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos manakala Bersatu memilih haluan berbeza dengan bertanding menggunakan logo sendiri.

Tiada ulasan: