Nicholas Chung
PRN Johor lonjak imej BN dan Zahid Hamidi ketika semua parti susun semula strategi PRN Negeri Sembilan dalam tempoh dua minggu mendatang.
Kemenangan besar BN di Johor menyuntik semangat gabungan diketuai Umno ketika bersiap sedia bergerak solo pada pilihan raya akan datang, termasuk PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
PETALING JAYA: PRN Johor ke-16 berakhir dengan menyaksikan Barisan Nasional (BN) merekodkan kemenangan bergaya di 48 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) menang baki lapan kerusi.
Antara pemenang terbesar ialah BN dan ketuanya di Johor, Onn Hafiz Ghazi, yang menjadi sandaran utama kempen BN apabila selesai mengangkat sumpah bagi penggal kedua sebagai menteri besar, selepas memimpin parti itu mencapai kemenangan di 48 DUN.
Perikatan Nasional (PN) berdepan kekalahan paling teruk, tersingkir sepenuhnya daripada perebutan DUN susulan keretakan antara rakan komponennya, PAS dan Bersatu, manakala PH pula terpaksa menelan kekecewaan dengan DAP kehilangan beberapa kubu kuat kepada BN.
Menang – BN
BN memperkukuh semula cengkamannya di Johor selepas hampir 10 tahun hilang penguasaan kerajaan negeri kepada PH, pada 2018. Dua tahun kemudian, parti itu menebus sebahagian besar kekalahannya dengan menguasai 40 kerusi, seterusnya memperluas majoriti dua pertiga kepada 48 kerusi pada Sabtu, sekali gus memberi gambaran kembalinya dominasi BN.
MCA dan MIC pula muncul pemenang besar apabila meraih kerusi lebih banyak serta kemenangan mutlak di kawasan tumpuan utama bukan Melayu, susulan merampas empat kerusi daripada DAP.
Kemenangan besar BN di Johor memberikan suntikan semangat kepada gabungan pimpinan Umno itu ketika sedang bersiap sedia bergerak secara solo pada pilihan raya akan datang, termasuk PRN Negeri Sembilan, pada 1 Ogos ini.
Kalah – PH/Anwar
Keputusan di Johor menandakan prestasi pilihan raya hambar berturutan buat PH, selepas hampir dilenyapkan pada PRN Sabah pada November lalu. Meskipun kekuatan PKR dan Amanah di Johor sentiasa menimbulkan persoalan sebelum ini, kehilangan empat kubu kuat bandar milik DAP kepada BN pastinya memberi kejutan besar kepada parti berkenaan.
Pengerusi PH Anwar Ibrahim, melakukan beberapa siri turun padang ke Johor dalam usaha memperkukuh kempen gabungan itu, namun tindakannya mengundang sindiran pihak lawan yang mempersoalkan keperluan perdana menteri membuat sebegitu banyak penampilan.
Dengan penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan akan berlangsung Sabtu ini, gabungan itu kesuntukan masa memilih calon tepat dan mungkin perlu merombak strategi mereka bagi mengelak mengalami lebih banyak kekalahan di negeri yang dikuasai PH, sejak 2018.
Menang – Zahid
Kemenangan besar BN pastinya menaikkan imej Pengerusi Zahid Hamidi, yang berikrar memupuk hubungan lebih erat antara kerajaan Johor dan kerajaan persekutuan, selepas kedua pihak saling bertukar sindiran tajam sepanjang berkempen.
Kemenangan itu juga hadir susulan kejayaan inisiatif ‘Rumah Bangsa’ oleh Zahid yang dilancarkan Januari lalu, di mana ia menyediakan platform untuk bekas ahli dan ahli Umno yang digantung kembali secara rasmi, terutamanya tokoh terkenal seperti Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein.
Dengan Negeri Sembilan menjadi destinasi seterusnya selain Melaka dipimpin BN juga dijangka mengadakan PRN tahun ini, Zahid akan berusaha meraih lebih banyak momentum menjelang PRU16 akan datang.
Kalah – Amirudin
Amirudin Shari mengetuai kempen PH di Johor, sekali gus menandakan tugasan besar pertamanya sejak menggantikan Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, sebagai ketua pengarah pilihan raya parti bersama Saifuddin Nasution Ismail.
Usahanya gagal membantu PH mahupun PKR menambah jumlah penguasaan kerusi, memandangkan hasil kemenangan gabungan itu berkurang kepada lapan kerusi, malah majoriti di kerusi yang menang lebih tipis, berbanding 2022.
Amirudin, yang juga menteri besar Selangor selama dua penggal, pastinya berharap akan memperoleh keputusan lebih baik apabila pilihan raya diadakan di negerinya selewat-lewatnya menjelang November 2028.
PAS untung?
Di sebalik kekalahan penuh PN, keputusan di Johor dalam beberapa sudut memperkukuh pendirian PAS bahawa perpaduan dalam kalangan parti Melayu-Islam mampu menjamin kemenangan besar, walaupun di negeri yang mempunyai komposisi masyarakat lebih berbilang kaum seperti Johor.
PAS hanya bertanding di 11 DUN, dan didakwa mempunyai pakatan rahsia bersama Umno pada PRN Johor, manakala sumber daripada Bersatu mendakwa dua parti berkenaan sedang membincangkan satu lagi persefahaman politik di Negeri Sembilan.
Ketika PAS mula beralih arah daripada Bersatu dan menjalinkan hubungan erat dengan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin serta parti baharunya, Parti Wawasan Negara (Wawasan), pemerhati akan melihat dengan rapat strategi parti berteraskan Islam itu apabila menyentuh soal kerjasama dengan Umno pada pilihan raya mendatang, terutamanya PRU16.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan