"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes bunuh lelaki warga asing, 11 ditahan termasuk 3 warga tempatan

Azizi Majid

JOHOR BAHRU: Polis menahan 11 suspek, termasuk seorang wanita, susulan kes bunuh seorang lelaki warga asing yang ditemui berlumuran darah di kaki lima sebuah bangunan kedai di Taman Universiti, Skudai, di sini, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha, berkata tangkapan dilakukan selepas kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian mangsa, 33, pada malam 4 Julai lalu.

Terdahulu, katanya, kejadian yang berlaku pada awal pagi 28 Jun lalu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10.23 malam, 4 Julai lalu selepas lapan hari dirawat.

“Bedah siasat yang dijalankan pada 5 Julai mengesahkan punca kematian akibat kecederaan tumpul di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan perkembangan itu, beliau berkata, polis melancarkan beberapa serbuan antara 5 hingga 6 Julai lalu.

“Antara yang ditahan ialah dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 36 hingga 37 tahun yang juga majikan mangsa, selain lapan lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 41 tahun yang juga rakan sekerja serta kenalan mangsa.

“Tangkapan dibuat di sekitar Skudai, Taman Bukit Indah, Ayer Keroh di Melaka dan Ampang, Kuala Lumpur. Beberapa barangan turut dirampas bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada warga asing yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di Mahkamah Majistret, di sini, esok.

Sementara itu, tiga warga tempatan akan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan keterangan, menyembunyikan bukti atau memberikan maklumat palsu dengan niat melindungi pesalah daripada hukuman.

“Baki tujuh lagi lelaki warga asing akan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana memasuki dan tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan, pas atau permit yang sah,” katanya.

Tiada ulasan: