"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kejayaan terbesar PAS di PRN Johor tamatkan riwayat Bersatu, kata Puad

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata kemenangan PAS paling besar dalam PRN Johor adalah berjaya menamatkan riwayat Bersatu secara total selepas usaha awal melemahkan parti itu tidak berjaya.

Puad berkata PAS sebelum ini berusaha untuk melemahkan Bersatu dengan menyokong Parti Wawasan Negara pimpinan Hamzah Zainudin.

“Tetapi kali ini memang Bersatu ranap terus,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Katanya, PAS membayar harga yang mahal di PRN Johor kerana mengamal politik pelik dengan sanggup bunuh rakan komponen sendiri.

“Kini PAS lengkap sebagai parti yang tidak boleh jadi rakan kongsi. PAS adalah ‘The loser’. Maka tidak wajar PAS dapat Adun lantikan,” katanya.

Dalam PRN Johor semalam, Barisan Nasional (BN) menang besar apabila meraih 48 daripada 56 kerusi dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (PH) pulang menang baki lapan kerusi.

PN yang mempertaruhkan 16 calon daripada Bersatu, 11 PAS, MIPP (lima) dan Pejuang (satu) kalah di semua kerusi ditandingi termasuk tiga yang dimenangi pada PRN 2022.

Puad yang mengumumkan keluar Umno menjelang PRN Johor juga menolak tanggapan bahawa undi daripada penyokong PAS sebagai antara faktor penyumbang kemenangan besar BN.

“Kalau benar penyokong PAS mengundi BN, rasanya ia terlalu kecil kerana undi yang PAS dapat di Tiram, Tenang, Kahang, Jementah dan Simpang Jeram terlalu kecil.

“Maka kemenangan BN sudah tentu kerana gelombang biru yang terlalu kuat di samping pengundi Cina yang kembali menyokong BN,” katanya.

Tiada ulasan: