Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Anggota bomba membawa mangsa yang terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah selepas ditemui terapung di Sungai Perak. – Foto JBPM
BAGAN DATUK: Dua kejadian berasingan jatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah ke Sungai Perak berlaku hari ini, menyebabkan seorang wanita maut, manakala anaknya berusia dua tahun serta seorang lelaki lain hilang.
Lim Li Yin, 38, ditemui terapung oleh anggota bomba dan dihantar ke Hospital Teluk Intan, namun disahkan meninggal dunia, sementara anak lelakinya, Wong Long Hee masih hilang.
Seorang lagi lelaki, Mohd Nor Ferdaus Mohd Mokhtar, 42, yang dilapor terjatuh dalam kejadian lebih awal dalam masih hilang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pertama jam 11.36 pagi, manakala kejadian kedua membabitkan dua beranak jam 7.15 malam.
Untuk kejadian pertama, katanya mangsa dipercayai jatuh dari kawasan tengah jambatan, dengan motosikal Modenas Z15 GT miliknya ditemui di bahu jalan bahagian atas jambatan.
“Pencarian di permukaan menggunakan bot dibuat dalam radius tiga kilometer dari lokasi mangsa terjatuh bermula 12.12 tengah hari. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tiba jam 4.33 petang, namun keadaan arus deras tidak membolehkan selaman dibuat.
“Ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR), maklumat kedua membabitkan dua beranak jatuh dari jambatan sama diterima daripada polis.
“Tindakan pantas bot JBPM menemukan menjumpai wanita itu dalam keadaan terapung, namun anaknya tidak ditemui,” katanya.
Sayani berkata, wanita itu diberi bantuan pernafasan kecamasan (CPR) oleh anggota bomba lalu dihantar ke Hospital Teluk Intan, namun meninggal dunia.
Operasi ditangguhkan jam 8.20 malam tadi dan akan disambung jam 8 pagi esok disebabkan keadaan cuaca dan faktor keselamatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan