"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

NASIB SATU MALAYSIA SAMA DENGAN ISLAM HADHARI.


   

Tidak sampai dua minggu Najib Razak mengambil alih pemerintahan negara, perobohan legasi Tun Abdullah Badawi telahpun bermula. Jenama politik Abdullah – Islam Hadhari – sudah mula hendak dirungkai dan dihumban ke persada sejarah.

Ada yang menganggap konsep Islam hadhari yang menyebabkan Barisan Nasional dan Umno tersungkur dalam pilihanraya umum 8 Mac 2008. Mazhab politik ini menganggap slogan dan konsep Islam hadhari tidak jelas dan mudah diremehkan oleh pihak lawan. Bila Umno kalah hujah, BN pun rebah.

Ada juga mazhab politik yang menganggap konsep ini adalah satu lagi habuan “mee segera” yang dilakarkan oleh Tun Abdullah, tanpa pemikiran yang mendalam dan teliti mengenai konsep yang hendak diketengahkan.

Tambahan pula, Tun Abdullah sendiri nampaknya tidaklah begitu gigih untuk memperjelaskannya kepada umum. Maka diserahkanlah kepada Nakhaie Ahmad dan ahli agama yang seangkatan dan sealiran dengannya untuk mentarbiyahkan konsep itu kepada orang ramai.

Sedihnya, tidak semua ahli jemaah menteri dan pembesar Umno yang lain kelihatan bersungguh untuk menghunjamkan  konsep Islam Hadhari ke dalam jiwa dan pemikiran rakyat. Maka tinggallah konsep itu sebagai sebutan dan bingkai untuk “mengampu” perdana menteri sahaja – bila beliau ada atau dikaitkan bersama dalam majlis-majlis rasmi, akan adalah pemimpin yang menyebut Islam Hadhari tetapi jika Pak Lah tak ada maka ia jadi satu perkara yang jauh dari sudut hati.

Di manakah silap konsep Islam Hadhari ini? Pemimpin-pemimpin Pas menganggapnya tidak wujud. Malah ada yang menyatakan ia adalah sesuatu yang amat disenangi oleh Barat dan musuh Islam. Golongan ini berhujah bila ada konsep Islam progresif atau hadhari, maka dengan sendirinya ia adalah pengakuan yang Islam yang diamalkan sebelum ini adalah jumud atau kolot.

Maka akan timbullah keinginan umat Islam tertentu untuk memutuskan nasab sejarah mereka dengan ajaran Islam kolot dan jumud ini dan mendakap Islam progresif tajaan Pak Lah, Umno dan Barisan Nasional.

Maka pada permukaannya Islam Hadhari mudah digeliatkan menjadi adegan Sure Heboh (kemudian Jom Heboh) hingga mufti pun menentangnya. Pengisian Islam Hadhari lain termasuklah pembaziran, rasuah dan pecah amanah; kenaikan harga barang dan peningkatan kadar jenayah,

Bagi pengkritik konsep ini yang lebih wajar dijaja dan dakwahkan ialah konsep Umat Hadhari dan bukan Islam hadhari. Umat boleh bersikap progresif dan bersemangat untuk maju atau sebaliknya. Bagaimanapun agama Islam memang sudah sempurna dan cara hidup yang memang sudah progresif.

Namun rejim yang hendak merungkai konsep Islam Hadhari ini sendiri tidak mengambil iktibar daripada kesilapan slogan yang tidak digarap dengan rapi ini. Dengan mencanangkan Satu Malaysia, Najib dan rakan-rakannya cuba memberi gambaran bahawa beliau mahu memimpin Malaysia yang berSatu padu dan berSatu hati. Maka sekaligus ia memberi isyarat bahawa cita-cita beliau adalah untuk membina perpaduan.

Malangnya, belum dua minggu memerintah, timbalannya, Muhyiddin Yassin telah mengguris hati rakyat keturunan Cina di negara ini. Muhyiddin berkata, rakyat keturunan Cina tidak bersyukur diberi tempat yang selesa di Malaysia dan hanya berminat untuk menjadi penentu kuasa (power broker) dalam sistem politik negara.

Ramai yang marah dan tersinggung – Gerakan, MCA dan juga DAP. Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng berhujah, bagaimana Muhyiddin boleh mendakwa bahawa rakyat dari keturunan apa pun boleh dikatakan tidak bersyukur kepada kerajaan sedangkan yang memilih dan meletakkan mereka menjadi pemimpin ialah rakyat. Beliau mempersoalkan sama ada Muhyiddin faham maksud ketuanan rakyat.

Jika perkara asas mengenai kepelbagaian ras, budaya, agama dan juga fahaman politik ini tidak difahami oleh orang nombor dua (na’auzubillah janganlah termasuk orang nombor satu) dalam negara, bagaimana Najib hendak memimpin Satu Malaysia?

Nasib slogan ini pun nampaknya akan sama dengan Islam hadhari – label yang tidak jelas maksudnya. Apabila dikatakan Satu Malaysia maknanya Najib yakin semua ciri, nilai dan juga kefahaman rakyat sudah dan akan dapat diSatukan. Maka bolehkah dikatakan apabila sistem pendidikan Malaysia terbukti mundur dan jumud maka Satu Malaysia akan berfikiran jumud? Atau, bila ada pemimpin yang rasuah, maka bolehkah dikatakan Satu Malaysia menganut budaya rasuah? Bagaimana mengukur standard Malaysia yang dikatakan sudah berSatu ini?

Memang difahami konsep Satu Malaysia ini diwujudkan oleh kem Najib untuk menyaingi slogan Pakatan Rakyat berhubung Keadilan dan Kebenaran untuk semua rakyat Malaysia atau perjuangan menegakkan Kedaulatan Rakyat. Namun dalam keghairahan perdana menteri baru ini, beliau nampaknya menidakkan realiti – tidak mungkin usaha menyatupadukan SATU bahasa, SATU budaya dan SATU agama akan berjaya. Lantas pastinya tidak mungkin wujud Satu Malaysia. Isu asas seperti peranan Bahasa Malaysia dan PPSMI masih tidak terungkai, maka bagaimana hendak mewujudkan SATU Malaysia yang boleh dipiawai mengikut satu nilai sahaja?

Belajarlah daripada hemah pemimpin silam. Pengasas Indonesia, misalnya, dari awal lagi mengiktiraf konsep Bhineka Tungga Ika – kesatuan dalam kepelbagaian – kerana itu adalah realiti. Yang harus dikutip ialah nilai-nilai yang pelbagai tetapi mampu membentuk karakter baru – citra Malaysia dan BUKAN bercakap langsung hendak mewujudkan Satu Malaysia!

Yang lebih wajar difikirkan bagaimana hendak menjadikan Malaysia nombor Satu. Ini kerana di sini ada matlamat dan ada semangat. Walau apapun nilai bahasa, budaya dan agama, matlamat rakyat Malaysia harus untuk menjadi nombor satu dan BUKAN menjadikan Satu Malaysia satu negara yang tidak malu mempunyai pemimpin yang rasuah, salah guna kuasa untuk terus berkuasa ke atas rakyat Malaysia yang satu – iaitu sama-sama mundur dalam segala-galanya. 

 -TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: