"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKM : Biarlah Chin Peng terus di sana

Polemik tentang perlu atau tidak bekas Setiausaha Agung PKM (Parti Kominis Malaya) Chin Peng 85 dibenar pulang terus bermain di media. Ini ekoran keputusan mahkamah yang tidak membenarkan anak kelahiran Setiawan, Perak ini pulang ke tanahair kerana gagal mengemukakan sijil bukti kelahiran beliau. Ekoran itu kerajaan Pusat pun mengumumkan bahawa Chin Peng tidak akan dibernarkan pulang ke tanahair.



Chin Peng atau nama asalnya Ong Boon Hua memang telah melakar sejarah yang tersendiri. Yang umum tahu bahawa beliaulah Setiausaha Agung PKM sehingga ia dibubarkan berikutan perjanjian Haadyai pada tahun 1989, beliau mengetuai PKM dalam Perundingan Baling bersama delegasi Almarhum Tunku pada tahun 1955 dan bahawa semasa Darurat 1948-60 beliaulah mengetuai kekuatan PKM betempur dengan Biritsh dan kemudiannya anak-anak Malaya yang Merdeka.

Tetapi beliau juga sebenarnya pernah bertempur bersama British menentang penjajahan Jepun. Beliau terlibat dalam MPAJA iaitu Tentera Malaya Anti Jepun dan membantu pasukan gerila komando Biritish “Force 136” dalam menghapuskan pusat kekuatan tentera Jepun.

Itu semua sejarah. Dan malah kini segala hasil tulisan, catatan dan memoir para pejuang tanahair yang menggunakan sepanduk PKM ini termasuklah Regimen ke 10 tidak lagi diharamkan dan boleh didapati dipasaran. Ramai yang hadir pada hari ini khasnya yang lahir tahun 80an mungkin tidak pernah terdedah secara langsung dengan peristiwa yang membabitkan PKM ini samada ketika Darurat 1948-60, serangan gerila mereka selepas itu, termasuklah dalam bandar sekitar 70an sehingga meletupkan sebahagian Tugu Negara, melontarkan grenade kepada Pasukan Polis Hutan yang sedang berkawat di kem mereka di Flet Pekeliling (ketika itu – Briged Tengah kalau tidak silap saya), membunuh KetuaPolis Negara dan Ketua Polis Perak dan lain-lain.

Mungkin ramai boleh melupakan tindak-tanduk PKM ini, melupakan kerana tidak pernah ingat pun atau kerana perkara itu tidak melibatkan mereka dan keluarga mereka secara langsung. Saya perhatikan memang ramai boleh melupakan tetapi tidak ramai boleh memaafkan. “Many can forget but not many can forgive”.

Saya memang minat untuk menyelami prinsip dan perjuangan mereka. Kebetulan ayah saya terlibat dalam operasi memutihkan Kajang pada tahun 50an yang ketika itu merupakan kawasan hitam, lalu banyaklah cerita yang saya kaut dari beliau. Saya terpesona bagaimana mereka ini sanggup lari ke hutan, lari dari tekanan British dan mengangkat senjata menentang British walaupun dengan kekuatan yang amat minima.

Mereka memang hebat, azam mereka kuat, disiplin mereka tinggi tetapi malangnya mereka menganut fahaman kominis. Hampir setiap buku dan karangan mereka ini termasuklah dari para pengulas dan penganalisa serta pengkaji saya beli dan baca. Buku Chin Peng, buku Rashid Maidin, Abdullah CD, Suriani Abdullah, dan lain-lain termasuklah Memoir Shamsiah Fakeh (yang kebetulan sempat saya jumpa dan temuramah untuk WTV8 sebelum beliau meninggal dunia) dan buku karangan CC Chin dan KarlHack: Dialogues with Chin Peng . Terbaru saya sedang membaca buku “Fong Chong Pik: The Memoirs of a Malaysan Communist Revolutionary.

Apa yang saya dapati mereka ini semua yakin dan percaya bahawa mereka berjuang untuk kemerdekaan tanahair dan apa yang berlaku sehinggalah PKM dibubarkan itu adalah sah (legitimate). Tidak saya baca sesiapa pun yang menyesal atau kecewa kerana terlibat berperang sesama kitakhasnya setelah British berambus dan kita merdeka pada tahun 1957.

Kita boleh melupakan tetapi siapakah yang akan memaafkan darah dan airmata mereka di sebelah sini. Tentera, polis, orang awam, petani, nelayan, rakyat biasa yang terkorban, menderita akibat kepercayaan mereka(PKM) bahawa perjuangan bersenjata sahaja yang dapat memerdekakan Malaysia buat kali kedua dan bernaung di bawah panji-panji kominis.

Saya simpati dengan Chin Peng kerana pada usia lewat 80an pasti beliau rindu akan kampong halaman dan sanak-saudaranya. Tetapi saya tidak tergamak untuk menyokong beliau kembali ke tanahair sebagaimana rakyat biasa, kerana apa yang telah beliau dan rakan-rakannya lakukan terlalu pahit dan tidak dapat dimaafkan.

Biarlah mereka ini kekal sebagai satu pengajaran buat semua kita. Baca dan fahamilah perjuangan mereka tetapi selamilah juga hati dan perasaan kaum-keluarga dan mereka yang terlibat secara langsung memastikan Malaysia tidak sekali-kali menjadi Vietnam, Korea Utara atau Kominis Cina.

Tiada ulasan: