"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nasruddin Tantawi sedia untuk dibimbing dan dipimpin dalam PAS

KUALA LUMPUR: Pemilihan beliau sebagai Ketua Pemuda PAS dianggap bukan suatu kebanggaan atau anugerah tetapi ia adalah tanggung jawab dan amanah yang mesti dipikul demi kemantapan parti, lapor Nyza Ayub.

Demikian antara harapan Ustaz Nasrudin Hassan yang menang tanpa bertanding bagi jawatan nombor satu dalam Dewan Pemuda PAS Pusat untuk sesi 2009-2011.

"Saya bukanlah yang terbaik tetapi setelah diamanahkan oleh Pemuda, maka saya mengambil satu tanggungjawab untuk memikulnya. Saya juga sangat mengharapkan petunjuk dan kekuatan daripada Allah untuk menerajui Pemuda agar lebih baik dari hari semalam.

"Saya juga mengharapkan dengan gandingan Ahli Jawatankuasa Pemuda yang bakal dipilih dalam muktamar nanti di samping Timbalan Ketua dan Naib Ketua yang telah menang tanpa bertanding dapat melaksanakan misi dan visi bagi menggerakkan Pemuda," ujarnya sewaktu dihubungi.

Beliau juga, katanya bersedia untuk ditegur dan diperbetulkan oleh kepimpinan PAS sekiranya berlaku kesilapan dalam menerajui Dewan Pemuda.

"Jika sekiranya saya lemah dan leka, saya juga bersedia untuk segera dibimbing dan dipimpin. Ini untuk memastikan kepimpinan Pemuda terus terpelihara. Bukan bermakna apabila saya dipilih menjadi ketua, saya boleh bertindak sewenang-wenangnya. Sebab saya hanyalah pemegang amanah," tegasnya.

Sementara itu sewaktu ditanya apakah beliau akan meneruskan kesinambungan kepimpinan Pemuda yang terdahulu, jelasnya, beliau akan menggunakan pendekatan untuk meneruskan tradisi-tradisi yang telah digagaskan oleh kepimpinan sebelum ini.

Kata Nasruddin, beliau akan terus meneroka serta melaksanakan penemuan baru yang dapat memberi manfaat kepada PAS.

Disamping itu, beliau juga akan mempastikan pengukuhan tarbiyah Pemuda akan terus dipergiatkan dengan mensasarkan tiga elemen utama. Tiga elemen tersebut katanya ialah akidah perjuangan, fikrah serta pemikiran Pemuda yang mestilah jelas serta berasaskan manhaj perjuangan Islam yang tulin serta saksiah Pemuda yang soleh yang boleh menarik lebih ramai sokongan terhadap perjuangan Islam.

"Saya percaya bahasa badan itu jauh lebih baik daripada bahasa lidah. Oleh sebab itu akhlak Pemuda hendaklah menjadi sebahagian daripada dakwah kepada masyarakat. Tanggung jawab setiap pemimpin untuk memperkasa parti dari masa ke semasa. Insya-Allah kita akan fikirkan serta lakukan sesuatu agar PAS khususnya Pemuda akan berdiri segak di tengah-tengah persada politik tanah air," tegasnya.

Dalam pada itu, Nasrudin juga berhasrat untuk memantapkan perhubungan Pemuda dengan gerakan Islam di peringkat antarabangsa kerana beliau percaya elemen-elemen global tetap mempunyai pengaruh terhadap perkembangan Islam di tanah air.

Tiada ulasan: