"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

APCO: Pemuda PKR mahu Najib, Khairy disiasat

Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 6 April: Isu APCO Worldwide berlarutan dengan sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat laporan mendesak polis menyiasat pembabitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam mendapatkan khidmat firma itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa penglibatan kedua-dua Najib dan Khairy sama ada secara langsung ataupun tidak telah memberi impak amat besar kepada negara terutamanya dari segi keselamatan.

“Ini kerana sebagai pemimpin negara, Perdana Menteri seharusnya sedar akan risiko yang diambil dengan membenarkan APCO sebagai penasihat beliau dalam hal ehwal komunikasi dan membentuk imej.

“Begitu juga dengan slogan 1 Malaysia yang mewujudkan polemik berpanjangan apabila wujud acuan Zionis dalam gagasan yang disiulkan beliau setiap hari.

“Selain itu, kita juga mahu polis menyiasat hubungan Khairy dengan Pengarah Ethos & Company, Omar Mustafa yang dahulunya Penasihat kepada Datuk Najib.

“Ini kerana Khairy dilihat bermati-matian mempertahankan pengarah firma perunding tempatan itu yang sebelum ini bertanggungjawab menghubungkan kerajaan Malaysia dan APCO,” kata beliau selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Semalam ahli-ahli Parlimen PAS menyerahkan memorandum meminta Majlis Raja-raja Melayu campur tangan meminta Najib membatalkan kontrik dengan APCO juga atas aspek keselamatan dan kedaulatan.

Beliau berkata, laporan itu turut mahu satu siasatan terperinci terhadap Najib dan Khairy mengenai satu perjanjian di antara kerajaan Malaysia dan APCO.

“Kita mahu polis menyiasat perkara ini yang dibuat pada 4 Ogos 2009 mengenai perjanjian perkhidmatan ... to provide service on public relation, daily management and goverment relation outreach for Government in United States.

“Daripada perjanjian itu, kita percaya APCO mempunyai hubungan dengan kerajaan Israel iaitu satu kerajaan yang banyak menindas orang Islam di Palestin,” kata beliau.

Shamsul Iskandar menambah dengan wujudnya kontrak antara Malaysia dan APCO, isu keselamatan negara adalah diragui memandangkan hubungan APCO dengan Israel.

“Kita bimbang sekiranya kerajaan Malaysia sama ada secara langsung ataupun tidak memberikan maklumat-maklumat sulit terutamanya dalam isu keselamatan negara kepada APCO,” katanya.

Turut hadir ketika membuat laporan polis itu Timbalan Ketua AMK Faris Musa, Ketua Penerangan AMK Lee Khai Loom, Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar dan Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria.

Shamsul Iskandar memberitahu, tindakan Najib dan Khairy menunjukkan seolah-olah isu keselamatan negara tidak penting.

“Jadi kita harap polis dapat menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan apakah tujuan sebenar kedua-dua individu ini dalam mempertahankan kontrak yang dimeterai dan apakah kepentingan mereka dalam perjanjian tersebut.

“Justeru, melihat kepada keadaan ini kita mencabar Datuk Najib dan Khairy Jamaluddin berdebat mengenai perkara ini.

“Kita mahu mereka menjelaskan secara terperinci dalam perkara ini supaya rakyat faham apa sebenar yang berlaku,” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: