Li Fook Gao
Kempen Hulu Selangor sudah pun bermula dengan ganasnya. Barisan Nasional memulakan kempen dengan cubaan melakukan perbunuhan karektor calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim dengan memainkan isu arak.
Datuk Zaid telah pun menjawab bahawa dakwaan beliau meminum arak adalah cerita lama.
Dipetik daripada Malaysiakini:
Zaid mengakui kepada pemberita bahawa pernah minum alkohol seperti yang didakwa oleh BN dalam kempen mereka. Tetapi katanya, perkara itu dilakukannya ketika masih muda dan beliau kini sudah insaf.
“Itu cerita lama. Kalau mereka nak ungkit, ungkitlah. Saya dah minta maaf dengan Allah s.w.t. Apapun kelemahan saya, apapun ketidaksempurnaan, saya adalah seorang manusia dan mampu jadi wakil rakyat. Saya tidak hipokrit, apa yang silap, silaplah. Saya bukan seperti pemimpin Umno. Mereka hiprokit.Kalau orang tanya kes-kes tertentu, mereka kata terlalu kecil. Tetapi bagi saya, saya jawab. Saya percaya rakyat Hulu Selangor boleh menilai manusia Zaid Ibrahim ini sama ada dia layak jadi wakil rakyat. Kalau layak saya menanglah, kalau tak layak, tak layaklah.”
Pengakuan Datuk Zaid menampakkan satu sifat yang jarang kelihatan di kalangan pemimpin UMNO – berani bercakap benar. Walaupun isu arak ini akan merosakkan imej seorang Muslim, namun Datuk Zaid tidak sanggup menipu rakyat Hulu Selangor dan Malaysia sepertimana UMNO-BN.
Bukankah ciri ini ciri yang terpenting dan hilang dari Parlimen negara kita hari ini? Sebagai orang Islam mahupun orang bukan Islam, keberanian mengaku silap dan bercakap benar di hadapan media perdana sepatutnya dikagumi dan dihayati bersama. Itulah yang layak digelar sebagai pemimpin!
Walaupun Datuk Zaid sudah menginsafi dan bertaubat kelakuan silamnya, namun serangan UMNO Barisan Nasional terhadapnya masih tidak putus-putus. Malah, UMNO cuba menggunakan isu arak ini untuk terus mendesak PAS berulang-kali bagi membuat pendirian terhadap masa silam Zaid dalam usahanya memecahkan jentera Pakatan Rakyat.
Kita semuanya hanya insan biasa, semuanya ada dosa masing-masing, namun bagi UMNO, perkara ini tetap tidak boleh diterima dan terus digunakan sebagai senjata kempennya di Hulu Selangor akibat kekurangan modal politik.
Baiklah jika UMNO ingin berkempen atas hal ini, marilah kita renungkan beberapa persoalan di bawah.
1. Jikalau dosa Datuk Zaid tidak boleh diterima, mengapa UMNO membenarkan beliau untuk bertanding pada pilihanraya 2004? Mengapa UMNO mendiamkan diri masa itu?
2. Jikalau dosa Datuk Zaid tidak boleh diterima, mengapa Pak Lah melantik beliau sebagai seorang senator dan Menteri pada zaman Islam Hadhari? Mengapa UMNO mendiamkan diri masa itu?
3. Mengapa UMNO menyerang Zaid hanya pada waktu beliau sudah menjadi calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor? Adakah betul-betul UMNO ikhlas dalam mempertahankan soal isu moral dan akhlak atau mereka ketandusan modal politik?
4. Jika ya, mengapa orang yang bermain politik wang masih menjadi ketua menteri di Melaka? Mengapa orang yang didapati bersalah bermain politik wang masih dicalonkan di Bagan Pinang? Mengapa orang yang bersalah bermain politik wang tidak didakwa oleh SPRM?
5. Sebagai seorang Muslim dan manusia yang beragama, apa sikap yang seharusnya diambil pada orang yang bertaubat? Bukankah kita harus gembira bahawa orang ini telah meninggalkan benda yang haram dan kembali ke landasan yang betul?
Mengapa kita harus dengki dengan orang yang bertaubat? Kemungkinan besar, orang UMNO BN dengki dan cemburu kepada Datuk Zaid kerana tarikan rasuah dan wang tidak memungkinkan mereka untuk bertaubat. Agaknya, dalam hati mereka, orang UMNO atau bekas UMNO mestilah dilihat sekotor mereka – itulah UMNO dulu, kini dan selamanya.
Wahai Muslimin dan Musliman sekalian,
Jika seorang bukan Muslim, yang dahulunya pernah berjudi, meminum arak dan makan khinzir akhirnya mendapat hidayah untuk memeluk Islam, dan anta sekalian boleh menerima dengan hati terbuka, mengapa tidak pada orang Muslim yang sudah bertaubat? Renungkanlah.
Wahai Rakyat Hulu Selangor,
Segala yang kita lakukan perlu ada niat yang baik – samada niat sembahyang, niat bertaubat ... dan lain-lain lagi.
Jikalau UMNO-BN dengan majoriti Parlimen 92% pada 2004, dan berkuasa selama 51 tahun di Selangor tidak ada sebarang "niat" untuk berubah dan mengubah hidup anda, lupakan sahaja slogan UMNO-BN bahawa “BN MAMPU BERUBAH” kerana sememangnya mereka tidak ingin berubah.
Ingatlah, dalam pilihanraya, perkara yang PALING MUSTAHAK ialah pilihlah calon yang pasti TIDAK akan makan-curi-seleweng DUIT RAKYAT; barulah duit rakyat boleh sampai ke tangan rakyat.
Untuk pengetahuan sekalian, isu pemberian hak milik tanah di Hulu Selangor oleh Kerajaan Selangor bukanlah gula-gula pilihanraya Pakatan Rakyat yang cuba di”spin”kan UMNO-BN.
Perkara ini sudah termaksud di dalam bajet Selangor 2010 pada perkara 132 di sini. http://bit.ly/afCbqF .
(132) Kerajaan Negeri amat prihatin dan memberi perhatian yang serius terhadap taraf sosioekonomi orang Asli di negeri Selangor yang seolah-olahnya tidak dibela oleh Kerajaan sebelum ini. Isu tanah pusaka Orang Asli merupakan isu pokok kepada masyarakat yang sekian lama diketepikan oleh pentadbiran Kerajaan Negeri yang lalu. Pada Tahun ini, Kerajaan Negeri telah menjalankan kajian secara mendalam berhubung dengan isu tanah pusaka Orang Asli dan justeru itu, pada tahun 2010 Kerajaan Negeri bersedia untuk memberi milik tanah-tanah pusaka itu kepada Orang Asli yang berhak.. Untuk itu, Kerajaan negeri juga telah menubuhkan Badan Bertindak Tanah Orang Asli yang diketuai dan dianggotai oleh wakil-wakilOrang Asli mereka sendiri, iaitu suatu jawatankuasa unik dan tidak pernah ditubuhkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. Objektif Badan Bertindak ini adalah untuk memastikan bahawa masalah-masalah tanah yang sedang dihadapi oleh Orang Asli dapat diselesaikan melalui perbincangan dengan Kerajaan Negeri.
Jika tiada pilihanraya kecil Hulu Selangor, percayalah hak milik tanah ini tetap akan diberi dan tidak akan dipetik di media arus perdana. Segalanya yang ditohmahkan oleh Barisan Nasional adalah kerana hasrat dengki kerana mereka tidak mempunyai apa-apa modal politik untuk diutarakan selain terus memperbodohkan rakyat.
Adakah bajet negara 2010 mengandungi gula-gula yang ditawarkan oleh UMNO-BN di Hulu Selangor? Rakyat Hulu Selangor, jangan tertipu.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Li Fook Gao berharap segalanya lancar buat Datuk Zaid Ibrahim di Hulu Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan