LanH
TERTARIK benar penulis dengan penjelasan seorang tok guru dalam tazkirah di sebuah masjid berhampiran rumah penulis baru-baru ini bahawa dalam perkembangan teknologi komunikasi sekarang ini lebih mudah untuk seseorang mendekatkan dirinya dengan Penciptanya, Allah SWT.
Katanya, dalam telefon selular boleh dimasukkan cip bacaan al-Quran sebanyak 30 juzuk, jadi bolehlah seseorang itu menghayati bacaan al-Quran sepanjang masa dan di mana saja dia berada. “Tetapi janganlah dibuka dalam tandas,” beritahu tok guru.
Katanya, pada zaman serba canggih ini semakin mudahlah seseorang itu mendekatkan dirinya dengan Allah, namun keberkesanannya bergantung kepada individu juga; jika teknologi hebat dia hanya berminat untuk mendengar lagu-lagu penyanyi kesukaannya, maka gagallah dia mendekatkan dirinya dengan Allah.
Tok Guru berkata; “dah tua-tua ni janganlah terlalu berminat dengan suara Siti Nurhaliza lagi, bertaubatlah, gunakanlah kemudahan moden itu untuk mendekatkan diri dengan Allah. Hayatilah bacaan al-Quran, ketenangan akan kita perolehi.”
Bercakap mengenai penggunaan teknologi komunikasi dalam dakwah, berdasarkan pengalaman penulis mengikuti tazkirah dan kelas pengajian di masjid berbanding kursus umrah yang dianjurkan syarikat swasta, ternyata yang kedua ini selalunya menggunakan pendekatan multimedia mendatangkan kesan lebih mendalam kepada hadirin.
Pada kebanyakan kelas pengajian di masjid yang biasanya diadakan antara solat maghrib dan isyak, komunikasi adalah sehala, ustaz saja yang bercakap sedangkan jemaah mendengar saja. Jarang benar ustaz bersedia membuka soalan kepada jemaah.
Apabila berlaku komunikasi sehala, penulis perhatikan ada jemaah tersenguk-senguk, menandakan mereka tertidur tetapi pada persembahan multimedia ketika kursus umrah penulis mendapati hadirin begitu tertarik dan bersemangat sekali.
Teknologi komunikasi berkembang pesat, jadi tidakkah teringin pemimpin masjid meningkatkan kaedah penyampaian termasuk tazkirah dengan menggunakan alat bantuan multimedia seperti slaid Powerpoint dan skrin gergasi?
Berhubung perkara ini, Abdul Halim Ismail dalam majalah Risalah, Bilangan 4 (April 1992) antara lain menulis: “Dengan meningkatnya teknologi komunikasi canggih bermakna meningkatlah darjah persaingan antara pelbagai kelompok, badan dan pertubuhan serta organisasi-organisasi untuk memenangi hati massa.
“Kini badan perniagaan dan korporat, parti politik, agensi pelancongan, badan budaya dan pengusaha industri hiburan terlibat dalam perang maklumat (infowar) yang sengit sekali. Dalam kebisingan dan hiruk pikuk seperti ini, mesej agama selalunya menjadi terpencil dan tidak didengari. Apatah lagi kalau badan-badan dakwah dan gerakan Islam memilih untuk menarik diri daripada perlumbaan yang hebat ini, pastilah suara dakwah menjadi bertambah perlahan.
“Kita yakin bahawa mesej Illahi adalah perutusan unggul yang harus ditebar seluas-luasnya. Allah sendiri menegaskan, “siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang mengajak kepada Allah? (terjemahan al-Quran, surah Fussilat 41:33). Namun tanpa ikut serta dalam ‘technological leap’ yang pantas kini, dakwah akan hanya mampu menguasai ‘market share’ yang kecil sahaja seperti yang disebut dalam American Demographics, ‘God may not be dead, but the mass market is’.
“Walaupun survival gerakan Islam tidak banyak bergantung kepada teknologi maklumat komunikasi, tanpa impak daripada operasi dakwahnya yang merupakan raison d’etre kehadirannya bergantung besar kepada kaedah dan media yang dimanfaatkan.”
Berdasarkan pengamatan penulis, jemaah yang mengikuti kelas pengajian di masjid pada setiap kali adalah orang yang sama. Mereka mungkin terdiri daripada 20 orang daripada seluruh penduduk kariah atau kampung seramai 2,000 atau 3,000 orang.
Jika orang dewasa di kampung itu ada 2,000 orang, kehadiran hanya 20 orang menunjukkan betapa gagalnya pentadbiran masjid dalam mendidik orang Islam. Tentunya masjid gagal diimarahkan kerana dengan tidak hadirnya 1,980 daripada 2,000 penduduk lelaki dewasa atau lebih 99 peratus penduduk kampung bermaksud mesej Islam gagal disampaikan secara berkesan.
Jadi bagaimana mahu berkomunikasi dengan lebih 99 peratus penduduk itu? Tentunya kaedah tradisional di mana ustaz duduk menghadap 20 ‘murid tua’ itu perlu diperkemaskan agar seruannya dapat didengar dan dimanfaatkan oleh seluruh penduduk kampung.
Sebuah masjid di ibu kota (Masjid Sayidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar) telah memulakan alat bantuan multimedia pada khutbah Jumaatnya. Dua skrin gergasi yang setiap satu bernilai RM6,000 diletakkan di sebelah mimbar, dan apabila khatib berkhutbah, persembahan slaid mengiringi isi khutbah, sekali gus menaikkan minat jemaah yang biasanya terkulai layu pada tengah hari yang panas itu.
Di beberapa masjid lain di Wilayah Persekutuan sudah ada persembahan Powerpoint bagi mengiringi khutbah Jumaat. Semuanya dilakukan dengan harapan jemaah akan lebih memahami sesuatu isu itu di samping mengelakkan mereka daripada terlena.
Alangkah baiknya, alat bantuan ini juga digunakan ketika diadakan tazkirah dan kelas pengajian di masjid. Pengurusan masjid juga boleh memikirkan bagaimana tazkirah itu dapat dipanjangkan kepada ratusan atau ribuan penduduk kariah yang tidak hadir berbanding dengan 20 jemaah tetap masjid.
Berdakwah kepada 20 ahli tetap masjid ini amatlah baik tetapi alangkah besar manfaat dan ganjarannya jika ribuan penduduk kampung dapat disampaikan ilmu dan maklumat. Memang betul, anak murid perlu mencari guru tetapi alangkah beruntung jika kita dapat memanfaatkan teknologi komunikasi yang kini berada di depan mata untuk menyeru seluruh penduduk ke arah kebaikan.
Bayangkan apa yang dapat dilakukan sekiranya organisasi dakwah mempunyai ‘linkage’ rangkaian telekomunikasi dengan setiap rumah dengan data dan maklumat yang sedia dimanfaatkan oleh semua pihak.
Ya, apa kata kita wujudkan telekomunikasi antara masjid dengan rumah penduduk dalam sesebuah kariah itu. Dengan itu apa saja sesi tazkirah di masjid boleh diikuti di rumah, tetapi harap-harap ia tidak disalahgunakan oleh penduduk lelaki dewasa untuk tidak hadir ke masjid.
Mungkin orang lelaki akan berterusan dipujuk ke masjid tetapi dengan wujudnya hubungan telekomunikasi masjid-rumah itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan perempuan terutama suri rumah yang terlalu sibuk dengan anak-anak dan urusan rumahtangga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan