Mohd Dzul Khairi
Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (PUM) membantah sekeras-kerasnya pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyokong kelulusan lesen judi yang digembar-gemburkan sekarang. Pandangan tersebut adalah jauh menyimpang daripada sifat keagamaan yang mengharamkan judi dan menyamakannya dengan peranan iblis.
Judi dalam Bahasa Arab disebut sebagai al-maisir, yang bererti mudah. Mudah mendapat keuntungan, mudah juga jatuh kerugian, malah sangat mudah menimbulkan sengketa dan pergaduhan. Judi merupakan sifat manusia yang tidak bertamadun dan jauh daripada semangat berdikari rakyat Malaysia.
Dahulu ada pandangan mahu memberikan jarum suntikan percuma kepada penagih dadah. Pemuda PUM melihat, ini semua berpunca daripada pemikiran Barat yang diwarisi oleh beberapa orang pemimpin di samping liberalisasi pemikiran yang semakin bertunjang kukuh di negara ini.
Tun Dr Mahathir mengatakan lesen judi dibuat untuk mengawal aktiviti perjudian. Ini merupakan satu pemikiran yang amat naïf. Jika begitu, kami cadangkan agar dibuat rumah untuk orang melakukan aktiviti persetubuhan haram. Kami juga mahu cadangkan agar kerajaan menyediakan satu tempat yang khusus untuk penagih dadah. Dalam masa yang sama, kami cadangkan agar arak dijual secara halal di mana-mana premis dengan tujuan pembendungan dan pengawalan.
Namun Islam tidak bersifat begitu. Cara Islam mengawal bukan dengan memberi dan meluluskan lesen. Cara Islam mengawal ialah dengan menyekat, mendidik dan menakut-nakutkan tentang bahaya dan risiko. Apa lagi orang yang berjudi akan boleh membawa risiko kepada keluarga mereka masing-masing.
Apabila Islam mengharamkan zina, Islam menyatakan “Jangan mendekati zina”. Mukaddimah kepada zina pun tidak boleh, apa lagi perzinaan. Orang yang kalah berjudi ada yang menggadaikan maruah isteri sendiri. Apabila Islam melarang Nabi Adam daripada makan buah khuldi, Allah mengatakan “Jangan mendekati pokok buah khuldi”, bukannya Allah mengatakan “Jangan makan buah”. Inilah Islam.
Apapun, Pemuda PUM tidak hairan dengan pemikiran naif Tun Dr Mahathir kerana beliau dahulu pun banyak menyindir hukum-hakam Islam. Mulut beliau petah berbicara dan lantang bersuara tentang pembebasan Palestin tetapi sifat beliau mewarisi keburukan Bani Israel. Palestin tidak akan bebas dan tidak memerlukan kapal Global Peace sekiranya pemimpinnya masih bersikap demikian, meskipun 1,000 buah kapal sekalipun berjaya sampai di Gaza.
Mohd Dzul Khairi Mohd Noor,
Ketua Pemuda PUM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan