"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar dicabar bukti dakwaan MP ditawar RM2j

Anggota Parlimen Bebas dari Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengemukakan bukti bahawa anggota-anggota Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah ditawarkan RM2 juta untuk lompat parti.

"Saya terdengar kat luar Yang Berhormat Permatang Pauh sebut tentang cabar yang melompat ini kononnya diberi RM2 juta, saya pula nak cabar Yang Berhormat kemukakan bukti...serta bukti 16 September.

"Saya minta penjelasan, dah dia cabar saya, saya cabarlah (dia)," katanya ketika mencelah perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) oleh Anwar (PKR-Permatang Pauh) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata beliau akan memberikan keterangan dan mendedahkan maklumat mengenai orang perantaraan yang menyediakan berjuta-juta ringgit kepada mereka yang melompat parti apabila tiba masanya.

"Tahniah...kereta baru, rumah elok...semua orang tahu, satu Pulau Pinang tahu, saya buat ucapan di luar tentang orang yang ambil wang ini, saya dah sebut di luar, saya akan keluarkan kenyataan mengenai orang perantaraan yang sediakan berjuta ringgit pada ketikanya nanti," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Zahrain berkata Anwar tidak perlu menunggu masa yang sesuai untuk membongkar dakwaan tersebut kerana Parlimen adalah tempat terbaik untuk berbuat demikian.

"Tadi dia ada cakap pasal rumah baru, kereta baru...dia pun ada. Ini dah jadi macam politik kebudak-budakan. Sekarang saya nak dia kemukakan bukti, kalau tidak tutup mulut jangan cakap," katanya.

Turut hadir, anggota konsensus Bebas yang lain iaitu Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai), Zulkifli Noordin (Kulim/Bandar Baharu dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju).

Zahrain berkata jika gagal mengemukakan bukti, Anwar dianggap tidak layak menjadi Ketua Pembangkang dan wakil kepada rakyat.

-Bernama-

Tiada ulasan: