"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan bela IPP, bebankan rakyat

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 19 Julai:
Ahli Dewan Negara, Senator Dr Syed Husin Ali menyelar tindakan kerajaan menaikkan harga beberapa barangan asasi yang membebankan rakyat tetapi meneruskan subsidi kepada penjana kuasa elektrik persendirian (IPP).

Syed Husin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, kenaikan harga petrol, diesel, gula dan gas sangat membebankan rakyat terutama kepada mereka yang berpendapatan rendah sebaliknya terus mengkayakan syarikat-syarikat gergasi.

Beliau juga melahirkan kebimbangan kenaikan harga barangan berkenaan menyebabkan juga kenaikan kepada barangan lain.

"Kita bimbang bahawa kenaikan harga barang ini yang disebabkan oleh penarikan subsidi terutama sekali ke atas minyak dan gula akan mengakibatkan kenaikan harga barang lain. Dan yang akan teruk menanggung beban kenaikan harga adalah golongan yang susah.

"Golongan kaya seperti IPP subsidinya RM19 bilion tapi tidak ditarik balik.Yang kaya dibiarkan terus kaya dan yang susah terus dibebankan," katanya.

Beliau juga menegaskan, walaupun kerajaan cuba mempositifkan minda rakyat dengan melarang media menggunakan ayat 'harga barang naik', namun hakikatnya perkara itu memang berlaku dan tidak boleh disangkal lagi.

"Saya tegaskan apa yang berlaku ini adalah kenaikan harga barang. Ini hakikatnya walaupun ada percubaan untuk mengganti namanya, hakikatnya adalah kenaikan harga barang," tegasnya.

Beliau juga menyifatkan alasan kerajaan menaikkan harga gula atas sebab kesihatan sebagai tidak munasabah.

"Berhubung dengan ini saya berasa geli hati sedikit apabila alasan menaikkan harga gula atas sebab kesihatan. Kalau kita bercakap soal kesihatan, kita boleh katakan daging boleh sebabkan darah tingi, telur boleh naikkan kolestrol dan begitu juga dengan barangan lain.

"Adakah atas sebab kesihatan semata-mata kita akan naikkan harga barang ini. Apa justifikasi menaikkan harga barang ini?" katanya.

Sementara itu, Senator S. Ramakrishnan berkata, kerajaan langsung tidak mempedulikan bantahan parti politik agar mengelakkan pembaziran dengan menghentikan pembinaan projek gajah putih sebaliknya bertindak menaikkan harga barang dan menjaga kepentingan kroni mereka.

"Kenaikan yang berlaku sekarang ada banyak bantahan dari pemimpin politik bahawa kerajaan harus mengelakkan projek gajah putih tapi kerajaan tidak mempedulikan bantahan ini tapi terus menaikkan harga barang. Mereka masih membazirkan wang dan permit AP diberi percuma kepada kroni," katanya.

Sebelum itu, Syed Husin memberitahu, soalannya berkaitan jumlah dan tugas sebenar polis cawangan khas di negara ini ditolak speaker.

"Soalan saya berkenaan jumlah ‘special branch' di negara ini, berapa peruntukan untuk mereka dan apa tugas mereka telah ditolak. Perkara ini perlu diketahui oleh rakyat dan kerajaan mesti telus memberikan penjelasan," katanya.

Turut bersama pada sidang media berkenaan, Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim dari DAP dan Senator Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff dari PKR.

Tiada ulasan: