"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terlepas lesen judi, saman ekor diutamakan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 12 Julai:
Kerajaan menyokong saman ekor mungkin disebabkan setelah terlepas peluang mendapat habuan daripada lesen judi bola yang tidak berani diluluskan kerana ditentang hebat oleh rakyat.

“Sebab itu tidak hairanlah kepada kita kenapa Datuk Seri Najib menyokong tindakan polis dan JPJ. Maka satu lagi projek 1Malaysia, rakyat didahulukan, saman diutamakan,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad
(gambar).

Sehubungan itu, katanya PAS merasa kesal, di atas sikap kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertindak menyenarai hitam sehingga mereka tidak dibenarkan untuk membaharui cukai jalan.

Dimaklumkan sejak September 2009, lebih 2.5 juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah itu, sebanyak 1.07 juta pesalah trafik telah disenaraihitamkan oleh PDRM.

“PAS merasa kesal ketika rakyat dihimpit dengan kenaikan harga barang dan tekanan hidup, dan indeks pengguna yang bertambah meningkat, tiba-tiba pihak polis dan JPJ menyatakan bahawa mereka yang ada saman ekor tidak dibenarkan membaharui cukai jalan,” ujarnya.

Katanya, PAS bukan menentang saman kepada mereka yang bersalah tetapi biarlah dihukum mengikut proses yang betul.

“Kenapa tidak dibawa kepada pengadilan untuk dibicara,” soalnya.

PAS, katanya berpendapat itu adalah satu kezaliman, kerana ada di kalangan mereka tidak tahu menahu berkenaan saman tersebut, bahkan ada yang tersalah saman, sedangkan mereka tidak mengetahui apa yang berlaku.

Baginya, tindakan saman ekor memang bertujuan untuk mendapat wang, bukan untuk hendak mengurangkan kemalangan jalanraya.

“Ada mereka yang dikenakan saman kerana membawa kereta melebihi 60 kilometer sejam. Logikkah saman ekor di kawasan berkenaan, mana ada kenderaan sekarang yang berjalan 60km/jam di jalan raya?” ujarnya lagi.

PAS juga, menurutnya berpandangan bahawa memang kerajaan kekurangan wang sekarang, setelah GST yang ditangguh pelaksanaan kerana mendapat penentangan yang hebat daripada Pakatan Rakyat.

“PAS mengharapkan pihak kerajaan perlu mempertimbangkan semula tindakan ini, kerana ia menyusahkan rakyat dan menzalimi rakyat.

“PAS menyeru supaya rakyat sedar inilah kerajaan yang ada pada hari ini hanya pandai menanam tebu di bibir konon membela rakyat, tetapi bertindak sebaliknya dan kita mesti bersatu untuk menolak BN dalam PRU 13,” katanya.

Tiada ulasan: