"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pindaan mahu betulkan kesilapan Umno 17 tahun lalu, kata MB Selangor

SHAH ALAM, 9 Jan: Kerajaan negeri Selangor mengesyorkan pindaan perlembagaan negeri bukan sahaja untuk menyelesaikan kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri tetapi juga mahu “membetulkan kesilapan” awal 1990-an, kata Tan Sri Khalid Ibrahim malam ini.

Sehubungan itu Menteri Besar Selangor berkata, adalah tidak wajar kuasa Sultan Selangor diambil alih oleh Umno demi memperkukuhkan kuasa persekutuan ketika krisis Perlembagaan Persekutuan 1993.

“Umno yang mengambil alih kuasa . . . tetapi apabila dimaklumkan bahawa Sultan tiada kuasa (pelantikan), kami dikatakan jangan bertindak menderhaka,” kata beliau pada perhimpunan di Stadium Malawati di sini.

Majlis malam ini dimulakan dengan solat hajat.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim juga hadir sama.

“Siapa yang menderhaka? Pada 1993, mereka (Umno) sudah pun melakukan derhaka,” kata beliau lagi.

Khalid juga menekankan bahawa kerajaan Selangor akan membuat beberapa usul akhir bulan ini untuk memastikan kuasa pelantikan tiga pegawai kanan perkhidmatan awam negeri — Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Kewangan Negeri kembali ke tangan Sultan dan kerajaan Selangor.

Malah beliau juga mencabar Umno menentang pindaan perlembagaan yang bakal dibawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

“Kita akan lihat belang mereka yang sebenar, jika benar mereka mendukung Sultan (mereka wajar sokong),” kata beliau disambut tepukan gemuruh.

Khalid berkata “drama (semasa) akan berterusan” sehingga kuasa untuk melantik pegawai-pegawai kanan terbabit kembali kepada negeri.

Semalam, Khalid juga mencabar Umno menyokong pindaan perlembagaan jika ia benar-benar ikhlas dalam menjunjung institusi diraja, yang dialung-laungkannya selama ini.

“Umno (mengatakan bahawa) ia memandang tinggi (kedudukan) Sultan. Mereka (mengatakan) mereka yang mempertahankan raja,” kata beliau sambil menggesa Umno menunjukkan keikhlasan jika benar parti teras Barisan Nasional itu mempertahankan institusi diraja.

Menteri Besar merancang untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri khas hujung bulan ini bagi menyelesaikan kemelut ekoran pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baru.

Sidang itu akan membincangkan pindaan perlembagaan negeri.

Pakatan Rakyat mempunyai 35 anggota di Dewan Undangan Negeri yang memperuntukkan 56 kerusi.

Pindaan perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga untuk diluluskan.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: