"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Video lucah bekas menteri: PAS minta polis ambil tindakan tegas

Harakahdaily
LABIS, 12 Jan: Semua ahli dan petugas PAS diminta menyerahkan kepada pihak polis jika terjumpa video lucah yang dikatakan pelakunya adalah seorang bekas menteri kabinet.

Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS untuk Dun Tenang, Salahudin Ayub berkata, beliau telah membuat arahan itu apabila terbaca berita dalam sebuah laman web kononnya video yang pernah dihebahkan itu kini muncul semula di Tenang.
"Kita tidak mahu difitnahkan terlibat dengan penyebaran video itu dan kita telah arahkan semua petugas atau ahli kita menyerahkan video itu kepada polis jika ia dijumpai di Tenang," kata Salahudin kepada Harakahdaily.

Menurut Salehudin, PAS tidak akan terlibat dalam penyebaran video sedemikian kerana ia amat bertentangan dengan dasar PAS.

"Kami bimbang ia satu provokasi terhadap kerukunan pilihan raya kecil ini," kata beliau kepada Harakahdaily.

Sejak dari awal lagi, PAS mahu pilihan raya kecil di Tenang berjalan dengan aman tanpa sebarang provokosi. Ini kerana, PAS bimbang jika kekecohan, ia akan menyusahkan para pengundi untuk keluar menjalankan tugas mereka sebagai warganegara.

Malaysiakini hari ini melaporkan, isu video ini muncul kembali apabila orang yang membuat laporan polis tentang video ini 2008 lalu, Lim Kok Long, sekali lagi membuat laporan.

Kali ini beliau melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mendakwa polis telah tidak mengambil tindakan terhadap bekas menteri berkenaan.

Menurut laporan sebuah akhbar Cina, Lim Kok Long tidak berpuas hati kerana polis tidak mengambil tindakan ke atas bekas menteri itu yang sepatutnya diambil tindakan di bawah seksyen 377A, Penal Code.

Bimbang juga di Selangor

Sementara itu, kebimbangan yang sama berlaku kepada Pakatan Rakyat di Selangor apabila satu kain rentang yang provokatif dinaikkan dengan meletakkan lambang PAS, PKR dan DAP pada kain rentang itu.

Pakatan Rakyat Selangor hari ini menafikan bahawa gabungan itu menggantung kain rentang yang yang didakwa menolak campur tangan sultan dalam pentadbiran negeri.

"Kami menafikan ianya daripada pihak kami. Daripada isu kandungan (kain rentang) ia bercanggah dengan (pendirian) Pakatan.

"Kita tidak mahu ada sengketa dengan pihak Istana. Ia terbukti apabila MB dan Exco hadir dalam majlis Sultan (dalam pelantikan setiausaha kerajaan negeri," kata ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Shah Alam, Khalid berkata, terdapat tiga kain rentang, di mana salah satu daripadanya berbunyi "Dimanakah Keadilan Sultan Dalam isu pemilihan SUK Siapa Lebih Berhak?" ditemui di Seksyen 9, Shah Alam.

Dua lagi kain rentang ditemui di seksyen 13 dan satu lagi bulatan di kawasannya.

Menurutnya lagi, dalam kain rentang tersebut tertera bendera ketiga-tiga parti gabungan Pakatan, dan tertulis biro penerangan PKR Selangor.

Tiada ulasan: