"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tolong rakyat dikatakan membazir, bantu kroni tak apa!

Detikdaily
PAS hairan dengan dakwaan Perdana Menteri kononya  "Janji 100 Hari Pakatan Rakyat" akan membawa anak cucu  merana akibat negara tiada kemampuan kewangan. "Sepatutnya seorang Perdana Menteri  mesti berfikiran positif terhadap perancangan baik untuk rakyat di negara ini. Apakah salah apabila Pakatan Rakyat mengemukakan rancangan untuk manfaat majoriti rakyat?" soal Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Tanyanya lagi, salahkah Pakatan Rakyat hendak menghapuskan Felda Plantation dan membuka ladang-ladang baru kepada generasi kedua dan ketiga? "Salahkah Pakatan Rakyat hendak menyusun kembali tol yang dianggap sebagai penyebab bebanan terpaksa ditanggung oleh rakyat dengan peningkatan kos operasi.
"Salahkah Pakatan Rakyat untuk memberi imbuhan bulanan tambahan kepada guru RM500 sebulan?". Dato' Seri Najib Tun Razak cuba menimbulkan keraguan tentang kemampuan kewangan negara jika "Janji 100 Hari Pakatan Rakyat" dilaksanakan. 

Kata Ustaz Idris, PAS mengucap terima kasih kepada Najib kerana baru sedar tentang hal ini, kalau hendak belanja ukurlah kemampuan dahulu. PAS juga mengingatkan kepada Najib, janganlah kalau untuk kepentingan rakyat umum,  tidak mampu, tetapi untuk kepentingan kroni mampu pula diluluskan peruntukkan cecah berbilion ringgit.

"Adakah Najib sudah ambil kira kemampuan kewangan negara ketika mencadang untuk membina Menara Warisan 100 tingkat? Wang sebanyak RM5 bilion mampu membina 1667 buah sekolah yang bernilai RM3 juta sebuah dan mampu memberi biasiswa pelajar perubatan seramai 5 ribu orang di United Kingdom dengan kos RM1 juta seorang dan boleh menampun biasiswa 10 ribu pelajar di fakulti perubatan di Mesir. Apakah peruntukan untuk PERMATA yang dikendalikan oleh Datin Rosmah Mansor sebanyak RM111 juta tidak membazir, sedangkan untuk Sekolah Agama Rakyat diberi hanya RM95 juta," soal beliau.

PAS tegasnya amat hairan dengan kenyataan Perdana Menteri kononnya negara akan menjadi seperti Greece kalau "Janji 100 Hari Pakatan Rakyat dilaksanakan. Kenyataan yang sama juga, katanya, dibuat ketika PAS mula memerintah Kelantan pada tahun 1990 dengan mendakwa PAS hanya mampu memerintah selama 3 bulan sahaja. 

"Dakwaan mereka hanya menurut kaca mata mereka yang penuh dengan rasuah, ketidak cekap dan salah urus. Begitu juga ketika Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi air percuma sebanyak 20 meter padu, pemimpin Umno kata ini perbelanjaan membazir. Pendek kata untuk rakyat semuanya membazir, kerana bimbang apabila rakyat senang, BN tidak ada harapan untuk menjerat leher pengundi dalam setiap pilihanraya," tegas beliau.

Ustaz Idris menegaskan antara sumber kewangan diperolehi daripada rancangan memerangi rasuah yang menyebabkan wang negara hilang sebanyak RM28 bilion. 

"Pakatan Rakyat tidak akan membuat Persidangan Wanita Pertama kendalian Datin Rosmah selama 3 hari, telan hampir RM4.5 juta. Subsidi untuk penjana kuasa bebas (IPP) sebanyak RM19 bilion perlu dikaji semula kerana membebankan negara. PAS berkeyakinan 'Janji 100 Hari Pakatan Rakyat' mampu laksanakan, berdasarkan pengalaman di Kelantan yang mpu memberi kebajikan kepada rakyat walaupun sumber yang terhad," tegas Ustaz Idris.

Tiada ulasan: