"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan media Dr Hasan Ali

Dr Hasan Ali

PAS Selangor terpanggil untuk membuat kenyataan rasmi berhubung dengan isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Isu ini telah berlarutan selama beberapa minggu dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada berbagai pihak. PAS Selangor bersukacita untuk membuat kenyataan dan meletakkan kemelut ini dalam perspektif yang rasional dan bijaksana.

PAS Selangor berpendapat bahawa dalam menangani isu ini semua pihak yang terbabit harus memberi pertimbangan kepada empat unsur yang terpenting dalam pengurusan pembangunan negeri ini. Unsur-unsur tersebut ialah istana, kerajaan negeri, jentera pentadbiran melibatkan pegawai dan kakitangan kerajaan dan rakyat jelata. Keempat-empat unsur ini mesti diharmonikan supaya Pakatan Rakyat yang telah diberi amanah untuk mengurus negeri ini terus diberi kepercayaan oleh kesemua unsur yang disebutkan.

Dalam bersama-sama menerajui negeri, saya dan PAS Selangor sering diingatkan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti supaya pada setiap masa menjalin hubungan yang baik dengan pihak istana, pegawai dan kakitangan kerajaan serta rakyat jelata.

PAS Selangor beranggapan bahawa punca kepada kemelut ini adalah wujudnya jurang komunikasi antara unsur-unsur utama yang disebutkan. Jurang yang ada menjadi bertambah dalam bila terdapat ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh terhadap isu ini.

Selain daripada empat unsur itu, wujud dua lagi unsur yang saling berkaitan iaitu peruntukan undang-undang dan juga amalan konvensyen. Dalam kes lantikan Setiausaha Kerajaan negeri,PAS Selangor berpendapat bahawa kedua-dua peruntukan perundangan dan konvensyen harus terus dipertahankan lebih-lebih lagi di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Dalam menghadapi isu ini, PAS Selangor menghormati langkah yang telah dan akan diambil oleh kerajaan negeri. Pada masa yang sama akur kepada peranan istana dalam proses lantikan tersebut di samping terus menyanjung institusi raja yang bebas daripada sebarang campur tangan politik yang membabitkan urusan negeri. PAS Selangor menyarankan agar semua pihak memahami dan mengiktiraf kepentingan institusi raja, kerajaan negeri, jentera pentadbiran kerajaan dan kuasa rakyat jelata demi keberlangsungan negeri tercinta ini.

PAS Selangor akan menggunakan seluruh kebijaksanaan, keterbukaan dan pengalaman parti bagi menjernihkan keadaan ini. PAS Selangor bimbang jika isu ini tidak ditangani dengan cara yang sebaik-baiknya, dikhuatiri keadaan akan menjadi bertambah keruh. Pengalaman PAS mentadbir sebuah negeri lebih daripada 20 tahun boleh menjadi iktibar dan panduan kepada penyelesaian masalah yang sedang dihadapi.

PAS Selangor akan berusaha ke arah mencari titik penyelesaian dengan seberapa segera melibatkan isu ini. Rakyat Selangor sedang menikmati buah pembangunan dengan pendekatan memartabatkan rakyat melalui falsafah pembangunan “Merakyatkan Ekonomi Selangor”. Rakyat Selangor tidak rela dijerumuskan dengan isu-isu yang tidak berkesudahan.
PAS Selangor bersedia pada bila-bila masa untuk menawarkan khidmat dari sudut pemikiran, tindakan dan pengalaman yang diperlukan oleh mana-mana pihak demi mengharmonikankeadaan serta membolehkan negeri ini berfungsi dengan sebaik-baiknya untuk menjamin kesejahteraan seluruh rakyat di negeri ini.

DATUK DR HASAN MOHAMED ALI

Pesuruhjaya PAS Selangor

12 Januari, 2011

Tiada ulasan: