"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kita harimau tak perlu diajar mengaum

Asrol
JOHOR BAHRU, 15 Jan: Lebih 300 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memeriahkan Majlis Pelancaran Jentera Pro Mahasiswa UTM walaupun hujan renyai-renyai turun membasahi bumi UTM Skudai.

Majlis yang pada asalnya dirancang untuk diadakan di hadapan bilik 24 jam PSZ telah ditukar ke Dataran Agora bagi menghormati permintaan pejabat Hal Ehwal Mahasiswa.

Walau bagaimanapun, disebabkan hujan turun, tempat majlis itu dipindahkan sekali lagi di hadapan Masjid Sultan Ismail.

Hujan yang turun tidak menghalang warga kampus termasuk staf dan pensyarah untuk hadir mendengar ucapan pemimpin mahasiswa.

Dalam majlis ringkas itu, Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Leftenan Muda Ku Abdul Muhyi telah menyampaikan penerangan berkenaan moto ‘Pro Mahasiswa Pro Universiti’ yang akan diguna pakai oleh jentera Pro Mahasiswa dalam pilihan raya kampus akan datang.

“Kita kena sedar bahawa kita sekarang mendokong aspirasi universiti, mendokong gagasan Datuk Naib Canselor dalam memacu UTM ke mata dunia. Kita akan menyokong apa yang baik dan mengkritik apa yang tidak baik,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, Pro Mahasiswa Pro Universiti bukan bermaksud pro kepada mana-mana pihak sebaliknya akan bersama-sama semua pihak yang ingin menjayakan gagasan universiti yang ada pada hari ini.

Beliau juga mengingatkan kepada seluruh mahasiswa agar tidak takut untuk bersama Pro Mahasiswa atas dasar gagasan yang dibawa oleh Pro Mahasiswa tidak bercanggah dengan visi dan misi universiti.

Berikutan kes ugut senior yang disahkan sebagai salah seorang penggerak utama Evolusi UTM ke atas aktivis ProM Tahun 1, Ku Abdul Muhyi juga mengingatkan kepada mana-mana pihak agar tidak mencabar Pro Mahasiswa dengan bertindak sesuka hati tanpa mengikut peraturan.

“Jangan cabar kita. Kita adalah harimau yang tidak perlu diajar untuk mengaum,” tegasnya.

Turut berucap petang tadi ialah dua orang wakil duta Pro Mahasiswa yang baru dilantik iaitu Munzir Musa dan Saudari Khairulwafa’.

Sokongan mahasiswa kepada Pro Mahasiswa dilihat semakin meningkat dan dijangka memberi harapan cerah untuk gelombang oren menawan UTM.

Tiada ulasan: