"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS lapor polis Pengarah Pelajaran kempen BN di Tenang

Khairil Abd Rahim
SEGAMAT,13 Jan: PAS Johor semalam membuat laporan polis terhadap Pengarah Pelajaran Negeri Johor, Markom Giran kerana mendakwanya berkempen untuk Barisan Nasional (BN) sempena pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Mazlan Aliman dalam laporannya menyebut, Markom, telah menyalahgunakan kuasa dengan memberi tekanan kepada semua Pengetua dan Guru Besar dalam DUN Tenang agar mengundi Barisan Nasional,

“Berdasarkan bukti-bukti yang diserahkan bersama, Markom jelas telah memberi tekanan kepada semua Pengetua dan Guru Besar dalam DUN Tenang agar mengundi Barisan Nasional. Beliau juga memberi tekanan kepada guru-guru kaunseling daerah Segamat agar berkempen dan mengundi Barisan Nasional dalam PRK N.05 DUN Tenang.

“Markom juga berkempen kepada guru-guru di SMK Munshi Ibrahim Labis, SK Kg Tenang, SK Pekan Air Panas, SK Felda Chemplak dan SMK Tenang Station agar mengundi Barisan Nasional. Secara jelasnya, beliau berkempen untuk Barisan Nasional di PRK N.05 DUN Tenang.

“Markom adalah penjawat Awam, DG 54 yang kini memangku Jusa C. Sedangkan mengikut Peraturan 21, melarang Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi, kumpulan Pengurusan dan Profesional mengambil bahagian dalam parti politik secara khusus,” jelasnya.

Tegas Mazlan,tindak tanduk Markom adalah sangat melampau dan boleh dirujuk kepada tindakan tatatertib, surat tunjuk sebab dan ditahan kenaikan pangkat.

Tambahnya lagi, jika menurut peraturan yang sama seseorang penjawat awam seperti Markom tidak boleh membuat pernyataan yang menyebelahi mana-mana parti politik juga tidak boleh merayu undi.

“Dengan demikian tindakan Markom ini boleh menjejaskan reputasi Jabatan Pelajaran dan contoh yang sangat buruk kepada lebih 30 ribu warga pendidik seluruh negeri Johor.

“Justeru itu saya mohon laporan polis ini disiasat dan tindakan segera dapat dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu PAS Johor juga turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di atas penyalahgunaan kuasa.

Tiada ulasan: