"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Liwat II: Rayuan Anwar mohon hakim tarik diri ditolak

Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini sebulat suara menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada terus mendengar kes liwat membabitkan ketua pembangkang itu.

Penghakiman dibuat oleh panel tiga anggota yang diketuai oleh hakim, Datuk Low Hop Bing, yang membenarkan bantahan awal dan memutuskan bahawa perkara itu tidak boleh dirayu.

"Mahkamah memutuskan tertuduh tidak mempunyai hak untuk merayu pada peringkat interlokutori.

"Kami kekalkan bantahan awal oleh pihak pendakwaan dan menolak rayuan itu,” kata Low.

Hakim lain dalam panel berkenaan adalah Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Ahmad Maarop.

Pada 6 Disember tahun lalu, Mohd Zabidin menolak permohonan pihak pembela supaya beliau menarik diri daripada terus mendengar kes tersebut.

Zabidin berkata, berdasarkan kepada transkrip mahkamah yang telah dibacanya, tidak berlaku berat sebelah di pihaknya, dan berikutan itu beliau menolak permohonan tersebut.

Permohonan itu dibuat ekoran dakwaan bahawa Zabidin mengancam peguam utama pihak pembela, Karpal Singh dengan tindakan menghina mahkamah, selepas Karpal memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mahu membatalkan hakim tersebut kerana tidak mematuhi keputusan Mahkamah Agung membabitkan usaha pihak pembela untuk mendapatkan proforma form yang dirujuk oleh saksi Dr Siew Sheue Feng.

Walaupun Zabidin menarik balik kenyataannya itu dan kemudiannya memerintahkan Dr Siew dari Hospital Kuala Lumpur menyerahkan proforma form yang digunakan sewaktu melakukan pemeriksaan ke atas pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, tetapi Karpal masih bertegas dengan tindakan membatalkan hakim tersebut dengan alasan wujud bahaya berlakunya berat sebelah.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: