"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jawi nafi beri arahan dalam isu azan masjid Kg Kerinchi

Syed Mu'az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 14 Jan: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menafikan pernah memberi arahan kepada Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi, agar menghentikan penggunaan pembesar suara ketika azan ekoran permintaan seorang peguam, mendakwa dirinya ahli seumur hidup MCA.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini, Pengarah Jawi Datuk Che Mat Che Ali menegaskan, beliau tidak tahu-menahu tentang arahan tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan larangan agar menghentikan penggunaan pembesar suara di masjid itu.

“Saya pun tak tahu (pasal arahan) suruh perlahankan azan.

“Kita juga tidak keluarkan arahan itu (hentikan azan),” kata Che Mat.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendakwa Jabatan Perdana Menteri dan Jawi telah tunduk kepada permintaan seorang ahli MCA yang mahukan suara azan Masjid Al-Ikhlasiah, diperlahankan, perkembangan yang membawa kepada protes dan demonstrasi hari ini.

Dewan Pemuda PAS juga berkata pihaknya kecewa dengan perkembangan tersebut, seolah-olah terpaksa “tunduk” disebabkan individu yang membantah azan masjid tersebut adalah seorang ahli MCA seumur hidup.

“Dalam hal ini, Dewan Pemuda PAS mempersoalkan apakah Perdana Menteri dan Jawi tunduk kepada tekanan ini hanya kerana beliau seorang ahli parti komponen BN?” kata Naib Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, dalam satu kenyataan hari ini.

Tiada ulasan: