"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

10 Pemimpin DAP Tawau keluar parti

Seramai sepuluh orang pemimpin DAP Tawau termasuk ketua publisitinya James Leong Yun Fui, meninggalkan parti berkenaan dan menyertai Parti Gerakan, salah satu parti komponen BN.

Tindakan kesemua 10 anggota parti pembangkang yang diketuai James itu diumumkan oleh naib presiden parti Gerakan Tan Sri Liew Yun Fah pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina naib presiden berkenaan di Tawau hari ini.

James dan rakan-rakannya menyerahkan borang keahlian mereka ke dalam parti Gerakan kepada Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada majlis berkenaan dan menyerahkannya kepada Liew.

Menurut James mereka bertindak keluar parti yang mereka dokong selama ini kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti DAP yang didakwanya hanya pandai bercakap tetapi tidak mampu menunaikannya.

James yang sudah sepuluh tahun bersama DAP berkata hanya BN yang mampu membawa pembangunan kepada rakyat secara keseluruhannya dan yakin dengan gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianggapnya telah berhasil mengembalikan sokongan rakyat kepada pemimpin dan kerajaan.

Mengulas mengenai tindakan pemimpin-pemimpin DAP Tawau itu, Musa berkata parti-parti pembangkang di Sabah sudah tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa di negeri itu dan tindakan pemimpin-pemimpin DAP itu menunjukkan kelemahan parti berkenaan dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Sehubungan itu, beliau yakin lebih ramai pemimpin dan ahli DAP akan keluar parti dan menyertai BN.

Sementara itu, Tan Sri Liew Yun Fah menyifatkan tindakan itu sebagai langkah terbaik dan petanda positif untuk BN merampas kembali kawasan DUN Sri Tanjung daripada DAP.

Beliau yakin masyarakat Cina di kawasan itu kini telah mula sedar bahawa hanya BN sahaja yang mampu memberikan peruntukan pembangunan sekaligus membela nasib rakyat di kawasan berkenaan.
-Bernama-

Tiada ulasan: