"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengorbanan Cikgu Mala ibarat lilin

Mat Zain Mat Isa
Bukan sekadar menenangkan perasaan kecewa dan sedih rakan-rakan petugas PAS dan Pakatan Rakyat di Tenang, kerja keras mereka memberikan tentangan sengit kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil kawasan itu Ahad lalu sebenarnya membuka ruang amat luas untuk penduduk setempat menikmati limpahan bantuan dan kemudahan, terutama daripada parti yang menguasai kerajaan negeri dan Pusat.

Calon PAS, Puan Normala Sudirman atau lebih popular dengan panggilan Cikgu Mala gagal dalam misi menempa sejarah untuk partinya merampas kerusi berkenaan dari genggaman BN.

Beliau memungut hanya 2,992 undi berbanding calon BN, Mohd Azahar Ibrahim yang mengutip 6,699 undi. BN menang dengan majoriti 3,707 undi, menokok 1,215 undi berbanding majoriti diraihnya 2008 Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya daripada BN, Dato’ Sulaiman Taha, 17 Disember lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan komplikasi kencing manis.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Sulaiman mengekalkan kerusi berkenaan untuk penggal keduanya setelah mengalahkan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi. Walau pun kalah, calon PAS itu berjaya mengurangkan majoriti kemenangan BN lebih separuh. Pada 2004, BN menang dengan majoriti 5,517 undi.

PAS turut menawan tiga daripada 12 peti undi, kesemuanya di kawasan majoriti pengundi Cina. Peningkatan prestasi itu memberikan harapan agak tinggi untuk PAS menapak lebih yakin dalam pilihan raya kecil minggu lalu.

Berbekalkan keyakinan itu, PAS mempertaruhkan Cikgu Mala. Pemilihannya, yang juga Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun Tenang, bagaikan mencetus dimensi baru politik tanahair. Ia bukan sahaja dianggap kejutan dari PAS yang buat pertama kali menampilkan calon wanita dalam sebuah pilihan raya kecil, malah turut menjadi tamparan buat Wanita Umno.

Ketuanya, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil bagaikan mati hujah apabila diterjah mengenai pemilihan Cikgu Mala. Lalu dalam keadaan seakan tergamam beliau dipetik sebagai “berbangga” dengan pilihan PAS itu.

Kita tahu reaksi itu lebih sekadar menenangkan perasaan sendiri. Pergerakan itu sebelum ini amat beriya-iya mengemukakan calon dari kalangan mereka disertai berbagai hujah meyakinkan.

Lalu bagi mengubati kekecewaan apabila pucuk pimpinan BN tidak melayan desakan mereka, Shahrizat akhirnya terpaksa mendakwa kononnya pemilihan Cikgu Mala sebagai calon PAS adalah bukti pengiktirafan terhadap perjuangan Wanita Umno. Pulak dah?

Biarkanlah Shahrizat dengan madah berhelahnya. Itu hak beliau untuk mendakwa dan mengakui. Namun suatu yang sukar disembunyikan para pemimpin BN sendiri, khususnya di kalangan pemimpin Wanita Umno ialah kemunculan Cikgu Mala di pentas pilihan raya negara mewakili PAS adalah suatu yang mencabar wibawa wanita BN.

Ketua Wanita Umno Baling, Dato’ Dr Mashitah Ibrahim misalnya, secara terbuka memberi ingatan kepada pucuk pimpinan BN agar jangan memandang remeh tindakan PAS mengemukakan calon wanita dalam pilihan raya. Apatah lagi dalam kes Cikgu Mala ini, Mashitah difahamkan mengakui kemampuannya berpidato dan memikat kalangan generasi muda menjadi unsur amat penting melengkapkan ciri kepemimpinan masa kini.

Tidak mustahil kebimbangan itu turut dikongsi para pemimpin BN lain, terutama kalangan wanitanya. Bagaimana pun kegusaran itu sedikit terubat apabila keputusan pilihan raya kecil Ahad lalu tidak memihak kepada Cikgu Mala.

Kini persepsi umum lebih didorong menilai kekalahan PAS di Tenang sebagai kegagalan parti itu menangani isu sebenar dikehendaki rakyat. Media massa talibarut BN tidak syak lagi akan menyebarluaskan berbagai ulasan dan analisa pilihan raya itu ke arah menjustifikasikan betapa rakyat sudah bijak dan masak menilai apa juga isu dibangkitkan pembangkang.

Sebaliknya, BN didakwa berjaya mengemukakan program dan dasar pemerintahannya yang diterima rakyat. Peningkatan undi diperolehinya dianggap bukti rakyat selesa dan kekal setia bersama parti itu, sama ada di peringkat negeri mahu pun Pusat.

Segala ketempangan demokrasi yang dilalui parti pembangkang sepanjang tempoh kempen seakan tidak berbangkit lagi. Berbagai penderitaan rakyat menerusi segala macam agenda pemerintahan BN seolah tidak memberikan sebarang bekas kepada pemikiran lebih kritis dalam masyarakat.

Sebaliknya, tidak mustahil nanti akan ada lontaran sinis dan negatif terhadap Cikgu Mala dan keluarga, terutama suaminya. Mungkin akan ada yang mempermain komitmen dan pengorbanan dibuatnya. Kononnya ia perjudian nasib hidup yang sia-sia.

Cikgu Mala telah melepaskan jawatannya. Suaminya juga berkemungkinan terpaksa berfikir ke arah yang sama selepas ini, terutama setelah menjadi fokus pertikaian umum ekoran cuti sakit diambilnya.

Sudah tentu hidup mereka sekeluarga nanti tidak setenang sebelum ini. Namun wajar diakui bahawa kesanggupan Cikgu Mala meninggalkan kerja asasinya itu adalah pengorbanan amat besar. Lebih besar lagi, disebabkan kesanggupannya menjadi taruhan PAS menyebabkan rakyat di seluruh Dun Tenang dibanjiri berbagai “nikmat” dan “kebaikan” luar biasa daripada BN.

Cikgu Mala kalah undi, tetapi menang jasa dan bakti. Beliau ibarat lilin yang sanggup membakar diri demi menerangi orang lain. Tahniah Cikgu

Tiada ulasan: