"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MTUC Gesa Kerajaan Umum Statistik Pekerja Asing Di Malaysia


PETALING JAYA, 6 MAC: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini meminta Kementerian Sumber Manusia mengumumkan statistik sebenar pekerja asing di negara ini serta negara asal mereka dan bukan angka anggaran.

Presidennya Mohd Khalid Atan berkata maklumat yang diterima pihaknya menyatakan terdapat kira-kira dua juta pekerja asing yang mempunyai dokumen sah di Malaysia dan jumlah itu tidak termasuk pendatang tanpa izin.

"Saya berpendapat jumlah ini adalah berlebihan...melebihi jumlah yang diperlukan oleh majikan di Malaysia.

"Kerajaan perlu mendahulukan rakyat Malaysia yang tergolong dalam lepasan sekolah menengah, universiti, menganggur, dibuang kerja akibat masalah yang dihadapi syarikat dan warga miskin sebelum memutuskan untuk mengambil pekerja asing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Persekutuan Kesatuan Sekerja Nepal (GEFONT) Gamesh Bahadul Gautam, di sini hari ini.

Mohd Khalid turut meminta kerajaan bertindak tegas berhubung isu kemasukan baru pekerja asing ke negara ini memandangkan sebelum ini terdapat keputusan untuk mengurangkan tenaga kerja asing di Malaysia.

Selain itu katanya, pihak berkuasa juga harus meningkatkan penguatkuasaan bagi mengekang kehadiran pendatang tanpa izin yang turut merebut peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Isu kemasukan pekerja asing berbangkit apabila Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam baru-baru ini dilapor berkata kerajaan telah meluluskan kemasukan 45,000 tenaga kerja dari India bagi memenuhi keperluan 13 sektor perniagaan.

Bagaimanapun pelbagai pihak termasuk MTUC membantah tindakan itu dan meminta keutamaan diberi kepada pekerja tempatan.
-tvsnews-

Tiada ulasan: