"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersih Mahu Mengadap Agong, Sedia Batal Himpunan Aman

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 4 Julai: Jawatankuasa penganjur Bersih 2.0 sedang berusaha untuk menghadap Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebelum Sabtu ini sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perhimpunan itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat Bersih 2.0, "Kami akan berkomunikasi dengan Yang Dipertuan Agung sebelum membuat keputusan akhir."

Pagi ini Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Srevanasan bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ini adalah bertujuan untuk menyelesaikan situasi sekarang, kata satu kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Bersih melalui Twitter mereka.

Petang semalam Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengeluarkan titah agar diadakan rundingan antara pihak Bersih dan kerajaan.

Baginda juga mengarahkan kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana serta menyelesaikan masalah dengan rundingan.

Titah ini dikeluarkan baginda seminggu menjelang perhimpunan Bersih 9 Julai ini dengan kira-kira 100 orang sudah ditangkap kerana dikaitkan dengan perhimpunan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara pula telah mengeluarkan kenyataan pintu rundingan sudah ditutup dan akan menahan pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini.

Menurut Tuanku Mizan, baginda mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Tiada ulasan: