"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas Adun bebas tuduhan cabul isteri rakan

Bernama
Mahkamah memerintahkan bekas Adun Air Putih, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk bela diri. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Ampang melepaskan dan membebaskan bekas Adun Air Putih, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, daripada pertuduhan mencabul isteri kepada rakannya, empat tahun lepas.

Majistret Amalina Basirah Md Top memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Wan Ahmad, 58, di akhir kes pendakwaan.

“Tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu tanpa dipanggil untuk membela diri,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, manakala Wan Ahmad diwakili Haijan Omar, Nik Zarith Nik Moustpha, dan Asyraf Abu Bakar Hamzah.

Perbicaraan kes itu bermula 5 Okt 2022, dengan seramai tiga saksi pendakwaan memberikan keterangan.

Pada 29 Jun 2021, Wan Ahmad mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa berumur 51 tahun itu, dengan maksud mencabul kehormatannya, di dalam sebuah ruang bersebelahan bilik tidur utama di sebuah kediaman di Taman Bukit Melawati, antara 1 pagi hingga 5 pagi, 20 Julai hingga 15 Ogos 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: