"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Veto AS beri 'lampu hijau' pembunuhan beramai-ramai

AFP
KANAK-KANAK Palestin menunggu untuk menerima sumbangan makanan. FOTO Reuters
KANAK-KANAK Palestin menunggu untuk menerima sumbangan makanan. FOTO Reuters
Washington: Seperti dijangka, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa menggunakan kuasa vetonya bagi menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB atau UNSC, bagi gencatan senjata di Gaza, Palestin.

Sebelum pengundian itu, AS mengedarkan draf resolusi alternatifnya sendiri.

Tidak seperti usaha AS yang lalu, versi itu memang memaparkan perkataan gencatan senjata, namun tiada seruan supaya ia digubal serta-merta.

Resolusi semalam, yang diusahakan Algeria selama tiga minggu, menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera yang mesti dihormati semua pihak.

Duta Algeria Amar Bendjama berkata, draf resolusi itu akan menghantar mesej yang kuat kepada rakyat Palestin, namun UNSC, gagal sekali lagi.

"Periksa hati nurani anda, bagaimana sejarah akan menilai anda," katanya.

Duta Palestin ke PBB, Riyad Al-Mansour menyifatkan tindakan AS itu sebagai melulu dan berbahaya.

Bagaimanapun, Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield berkata, mereka tidak boleh menyokong resolusi yang akan meletakkan rundingan sensitif dalam bahaya.

Beliau merujuk kepada perbincangan untuk membebaskan tebusan di Gaza.

Tindakan AS itu mengundang kritikan bukan saja dari China dan Rusia, malah sekutu mereka termasuk Perancis, Malta dan Slovenia.

Duta Slovenia ke PBB Samuel Zbogar berkata, mereka menyokong resolusi itu kerana mahu pembunuhan orang awam di Gaza dihentikan.

"Penderitaan dialami rakyat Palestin melangkaui apa yang dialami manusia," katanya.

Duta Perancis ke PBB, Nicolas de Riviere turut menegaskan, operasi ketenteraan di Gaza perlu dihentikan kerana mengakibatkan korban meningkat dan situasi kemanusiaan terburuk.

Kumpulan pejuang Hamas berkata, veto AS memberi Israel lampu hijau untuk melakukan lebih banyak pembunuhan beramai-ramai.

Undian itu dibuat ketika Israel bersedia melancarkan operasi ke bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza yang menempatkan kira-kira 1.4 juta orang sebagai sebahagian daripada misinya untuk menghapuskan kumpulan pejuang Hamas.

Bagaimanapun, apabila jumlah kematian di Gaza meningkat, Israel menghadapi tekanan meningkat untuk menahan diri termasuk daripada sekutu terdekat AS.

Tiada ulasan: