"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Usaha hidupkan MN dijangka buntu kerana Umno ‘terluka’ dengan PAS

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Penganalisis politik berpendapat cadangan menghidupkan semula kerjasama Umno-PAS melalui Muafakat Nasional (MN) mustahil untuk direalisasikan kerana ada “luka lama” menghantui hubungan kedua-duanya sebelum ini.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Umno dilihat selesa dalam kerajaan perpaduan dan mungkin tidak lagi mahu mengingati “luka lama” itu, merujuk tindakan PAS menjalin kerjasama dengan Bersatu bawah Perikatan Nasional (PN)

“Umno mempelajari kesilapan lampau kerana terlalu mempercayai kepimpinan PAS untuk mengotakan janji.

“Mereka selesa sekarang dalam kerajaan perpaduan manakala PAS mungkin licik untuk memainkan persepsi bagi menyatukan orang Melayu, tetapi mustahil mereka boleh bekerjasama setakat ini,” katanya kepada FMT.

Rabu lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata beliau “yakin” ada perbincangan secara tidak langsung antara pimpinan parti itu dengan Umno bagi menghidupkan MN digagaskan ketika keduanya dalam blok pembangkang sebagai usaha penyatuan ummah pasca PRU14 dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, pemimpin Umno Puad Zarkashi menegaskan parti itu “menutup buku” yang bagaimanapun tidak dianggap sebagai pengakhiran oleh Hashim kepada usaha perpaduan ummah bawah MN.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berpandangan, usaha PAS terus “menjaja MN” mungkin sebagai cubaan memujuk Umno keluar daripada kerjasama kerajaan perpaduan.

“Ini kerana jumlah Ahli Parlimen Umno agak ramai dan semangat MN ini apabila dihidupkan dalam konteks masa kini akan memberi kelebihan kepada PN dari sudut sokongan akar umbi terdiri daripada orang Melayu.

“Umno kini selesa dalam kerajaan perpaduan namun masih terlalu awal untuk disimpulkan sama ada semangat MN termeterai atau tidak…ia bergantung pemimpin Umno untuk kekal konsisten pilihan telah dibuat atau beralih arah,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali, juga senada dengan Azmi bahawa faktor Umno sudah selesa dalam kerajaan perpaduan mungkin menyebabkan usaha menghidupkan MN menemui jalan buntu.

“Kalau ikut logik memang nampak sukar kerana Umno selesa mengetuai kementerian penting,” katanya.

Tiada ulasan: