"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Buruh pesalah khalwat pertama dihukum sebat di Terengganu

Bernama
Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman sebat terhadap lelaki itu kerana ini adalah kesalahan keduanya selepas dia pernah dihukum bagi kesalahan sama pada Julai tahun lepas. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU: Seorang buruh binaan menjadi pesalah khalwat pertama yang dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Hakim Syarie Hamidi Shafie menjatuhi hukuman empat sebatan dan denda RM3,000 selepas Mohd Affendi Awang, 42, mengaku bersalah.

Hamidi juga memerintahkan Affendi dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan Affendi menjalani hukuman sebat dalam tempoh 14 hari jika tertuduh tidak mengemukakan rayuan.

Affendi mengaku berada bersama seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang bukan isteri atau mahramnya di antara 1.10 pagi hingga 2.15 pagi pada 25 Jan lepas di tingkat tiga sebuah premis kosong dalam proses baik pulih di Kemaman.

Hukuman sebat dikenakan ke atas lelaki itu kerana ini adalah kesalahan keduanya selepas dia pernah dihukum bagi kesalahan sama pada Julai tahun lepas.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) Pindaan 2022, bagi kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan hukuman sebat hingga enam kali, denda hingga RM5,000 atau penjara tiga tahun.

Dalam penghakimannya, Hamidi berkata hukuman itu bertujuan mendidik pesalah dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan yang sama.

“Sebab itulah sebatan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil jauh berbeza. Di Mahkamah Sivil pada zahirnya nampak azab sedangkan di Mahkamah Syariah (sebatan) jauh lebih ringan dengan harapan didikan daripada Allah itu sampai,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Muhamad Khasmizan Abdullah manakala Affendi tidak diwakili peguam.

Tiada ulasan: