"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pegawai polis, anggota ditahan positif dadah dalam ujian rambang dibuat Bukit Aman

Zuhainy Zulkiffli
bhnews@bh.com.my

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang mengesahkan seorang pegawai kanan dan anggotanya ditahan pada Jumaat lalu atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata pegawai berusia 39 tahun itu didapati positif dadah jenis Benzodiazepines, manakala anggota berpangkat Sarjan, 42, pula positif Tetra Hydrocannibol (THC).

Katanya, pemeriksaan ujian air kencing ke atas mereka itu dilakukan secara rambang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bersama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

"Saringan awal kedua-dua anggota berkenaan didapati positif dadah dan mereka dibebaskan dalam tempoh 24 jam selepas siasatan selesai, susulan itu majistret tidak membenarkan lanjutan reman.

"Sekiranya laporan patalogi mendapati mereka positif, tindakan tatatertib akan diambil ke atas mereka dan proses itu akan dilakukan JIPS sendiri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Difahamkan, seramai 67 pegawai dan anggota polis diperiksa dalam saringan itu membabitkan 22 pegawai dan 45 anggota.

Mohamad Usuf berkata, Skim Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) dilakukan secara berkala yang mana pemeriksaan rambang dilakukan terhadap pegawai dan anggota.

"Kita buat pemeriksaan secara berkala bagi memastikan warga polis bebas daripada penyalahgunaan dadah.

"Sekiranya ada, kita tidak akan berkompromi dan tindakan tegas diambil mengikut peraturan ditetapkan," katanya.

Tiada ulasan: