"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki tukar barang kemas mentua RM30,000 dengan emas palsu ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas mencuri barang kemas milik ibu mentua dan menukarkannya dengan emas palsu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata kejadian pada 11 Feb itu disedari wanita tempatan berusia 56 tahun apabila mendapati barang kemas diletakkan dalam laci dan bilik tidurnya hilang.

Katanya, satu gelang tangan emas serta seutas rantai leher emas miliknya ditukar kepada emas palsu sehingga menyebabkan kerugian sekitar RM30,000.

“Seorang penganggur, lelaki tempatan berusia 26 tahun yang merupakan menantu mangsa ditahan sekitar 6.30 petang bagi membantu siasatan, Isnin lalu.

“Soal siasat suspek membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang berperanan sebagai pembeli barang kemas seperti dilaporkan hilang pada Rabu lalu,” katanya dalam kenyataan, menurut Kosmo.

Azam berkata, semakan mendapati tahanan pertama mempunyai dua rekod lampau dadah dan positif methamphetamine dan amphetamine.

“Tangkapan kedua tiada rekod lampau jenayah dan positif ganja.

“Menantu mangsa dibenarkan reman semalam tujuh hari bermula Selasa lalu hingga esok manakala tangkapan kedua tamat reman tiga harinya, semalam,” katanya.

Beliau berkata, motif kejadian disebabkan suspek memerlukan wang untuk menyelesaikan hutang tertunggak, hutang motosikal, berjudi dan membeli bekalan dadah.

Kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri di dalam rumah.

Tiada ulasan: